25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

‘Wartawan cilik’ berhasrat temu ramah Perdana Menteri

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KECIL-KECIL cili api. Biarpun kelihatan pendiam namun siapa sangka perwatakannya berubah apabila beraksi di depan kamera untuk memberi laporan berita.

Secara bersahaja dan tanpa kekok, kanak-kanak itu terus mendemonstrasikan kebolehannya membuat laporan mengenai dirinya dengan lancar dan petah diselangi loghat Kedah.

Wartawan cilik. Itulah jolokan yang diberikan kepada Muhammad Haziq Mohd Asyraf, dari Bukit Selambau Sungai Petani, Kedah selepas videonya melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam, tular baru-baru ini.

Video berkenaan dimuat naik dalam Facebook Putra Mar pada 24 Januari lepas dan sehingga kini menerima sebanyak 1.2 juta tontonan.

Memetik laporan Bernama yang menemui kanak-kanak itu di rumahnya di  Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau, anak sulung pasangan Nur Shakilla Zainol 33 dan Mohd Asyraf Ahmad 37, memasang hasrat untuk menemu ramah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika diberi kesempatan.

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu berkata, adalah menjadi impiannya untuk menemubual pemimpin nombor satu negara itu secara bersemuka yang sebelum ini hanya ditonton di kaca televesyen sahaja.

“Memang nak jumpa kalau boleh, kalau dapat jumpa PM (perdana menteri) nanti saya nak temu ramah PM dan akan sediakan donut dan roti yang akan dihidangkan kepada PM nanti,”katanya.

Nur Shakilla berkata, dia dan suami amat menyokong minat Muhammad Haziq dan menggalakkanya terus menghasilkan video laporan berita bagi mengasah bakatnya.

Advertisements

Katanya, sejak video pertama Muhammad Haziq  mengenai penemuan seekor ular sawa tular bulan lepas, ramai pihak yang tampil untuk memberikan sokongan kepada anak sulungnya itu, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau.

“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang beri perhatian kepada anak saya yang memberikan sumbangan terutama untuk persekolahan dia dan seorang lagi anak perempuan saya,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Lefternan Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub turut mengunjungi kediaman kanak-kanak itu, dan menyampaikan sumbangan persekolahan kepada Muhammad Haziq dan adik perempuannya, Sara Salsabilla, 7.

Sebelum ini, Muhammad Haziq yang juga penghidap talasemia, turut mendapat perhatian Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan menghadiahkannya telefon bimbit.

Kanak-kanak itu juga dihadiahkan sebuah tablet oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa selain sumbangan persekolahan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan individu.

-EDISI 9

Advertisements

Terkini

Jangan terjebak perjudian perhubungan cinta ekspres

Oleh DR NORSAFATUL AZNIN A. RAZAK DALAM era moden yang serba pantas ini, hubungan percintaan sering kali terbentuk dengan begitu...

Lagi Artikel Berkaitan