33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Tiada perhimpunan, perarakan hari penamaan calon – SPR

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan sebarang perhimpunan atau perarakan diadakan di mana-mana lokasi sepanjang hari hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 26 Februari ini.

Ketika mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan COVID-19 bagi PRN itu, SPR memaklumkan sebarang pihak termasuk penyokong parti politik juga dilarang berhimpun atau berarak pada hari sebelum, semasa dan selepas hari penamaan calon.

Suruhanjaya itu berkata, bilangan laluan masuk ke pusat penamaan calon (PPC) akan dihadkan bagi tujuan kawalan membabitkan laluan media, calon, pencadang atau penyokong serta laluan ahli atau pegawai SPR dan petugas pilihan raya.

“Jumlah maksimum kehadiran tertakluk kepada saiz dewan PPC dan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

“Calon yang sedang menjalani kuarantin sama ada kes positif atau kontak rapat tidak dibenarkan hadir ke PPC dan perlu diwakilkan kepada penyokong atau pencadang parti,” kata SPR dalam kenyataan malam ini.

SOP itu turut menetapkan tiada wakil dan penyokong parti dibenarkan hadir ke PPC.

Sementara itu, bagi kempen ziarah rumah ke rumah pula tidak dibenarkan memasuki rumah atau berjumpa dengan ahli rumah untuk berkempen.

Selain itu menurut SOP berkenaan, kempen tidak boleh melebihi lima orang.

“Individu yang sedang menjalani kuarantin sama ada kes positif atau kontak rapat serta bergejala tidak dibenarkan menyertai kempen ziarah.

“Mereka perlu mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain dan memakai pelitup muka,” katanya.

Selain itu, hanya lima peserta atau kurang dibenarkan dalam SOP tinjauan mesra manakala individu yang sedang menjalani kuarantin sama ada kes positif atau kontak rapat serta bergejala tidak dibenarkan turut serta.

“SOP bagi pemasangan iklan seperti bunting/banner dan pengedaran risalah dibenarkan dalam kawasan pilihan raya.

“Calon atau jentera dibenar mengedarkan risalah bagi tujuan berkempen di peti surat penduduk sekitar dan ia dihadkan tidak lebih dari tiga orang.

“Bagaimanapun, pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka tidak dibenarkan sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya.

Bagi kempen melalui pembesar suara, kenderaan yang terbabit tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan