25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Jadikan perbezaan kaum, agama sebagai keistimewaan – PM

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat di negara ini agar menjadikan perbezaan antara kaum dan agama sebagai satu kelebihan dan keistimewaan untuk merapatkan hubungan secara bersama dan bukan untuk memisahkan.

Ketika berucap pada Majlis Resepsi Tahun Baharu Cina 2022 di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor hari ini, Perdana Menteri berkata, semua kaum perlu mengutamakan sikap toleransi.

Beliau berkata, seluruh Keluarga Malaysia juga perlu saling memahami tentang agama, adat dan budaya yang sudah terjalin sekian lamanya di negara tercinta kita ini.

“Kita dapat melakukan ini dan kita mampu untuk hidup aman dan harmoni, sekali gus dapat menterjemahkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran hidup sebagai keluarga besar, Keluarga Malaysia.

“Kita telah menyaksikan seluruh Keluarga Malaysia, ketika berdepan saat sukar seperti pandemik Covid-19, berganding bahu menyumbang untuk memulihkan semula negara.

“Tidak kira apa jua bangsa dan agama, kita saling menyokong dan membantu antara satu sama lain,” katanya malam ini.

Advertisements

Ismail Sabri berkata, beliau yakin tahun 2022 akan membawa sinar baharu sebagai negara yang berbilang bangsa dalam menghadapi cabaran dan dugaan mendatang demi melakar Malaysia yang lebih dinamik dan berdaya saing.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, adalah menjadi satu amalan bagi Keluarga Malaysia meraikan sambutan perayaan kaum lain secara bersama dalam suasana harmoni.

“Keharmonian masyarakat Keluarga Malaysia inilah yang menjadi kunci kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara,” katanya.

Beliau berkata, nilai kebersamaan dan permuafakatan sedia ada pula, menyemarakkan lagi keunikan masyarakat majmuk kita di persada antarabangsa yang sekali gus menyerlahkan imej Malaysia sebagai sebuah negara kaya dengan warisan seni dan budaya.

Justeru, kata beliau, intipati Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2020-2030 yang telah saya lancarkan pada Oktober tahun lalu, memberi penekanan kepada perspektif mengangkat kebudayaan yang seringkali dilihat dalam konteks pencapaian peradaban dan tamadun.

“Inilah yang menjadi kebanggaan sebuah negara maju, yang telah berjaya menzahirkan khazanah tinggalan tamadun sebagai aset warisan negara, yang memberi pulangan kepada pendapatan negara sebagai produk-produk tarikan pelancong,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan