24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Perjalanan VTL Malaysia-Thailand dilaksanakan tidak lama lagi

Mesti Baca

RAKYAT Malaysia dan Thailand dibenar merentas negara tidak lama lagi selepas kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan skim Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, rakan sejawatannya Prayut Chan-o-cha telah bersetuju agar perbincangan di peringkat agensi dapat digiatkan untuk membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui skim VTL bagi Malaysia atau Test & Go bagi Thailand.

Beliau berkata, untuk permulaan Malaysia akan melaksanakan VTL udara di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi.

“Kita juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi-destinasi yang lain di masa akan datang.

“Skim VTL juga akan diperkembangkan untuk pembukaan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao serta termasuk semua CIQ yang di utara semenanjung dan Selatan Thailand, dan VTL laut di antara Langkawi-Satun.

“Ini sudah tentu akan dapat membantu untuk memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua pihak terutamanya untuk sektor pelancongan,” kata Perdana Menteri.

Advertisements

Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang media bersama dengan Prayut di Bangkok yang turut disiarkan menerusi Facebook beliau hari ini.

Ini merupakan lawatan sulung Perdana Menteri ke negara jiran itu sejak menjawat jawatan tersebut Ogos lalu.

Perdana Menteri berkata, selain isu pembukaan sempadan negara, kedua-dua pemimpin itu turut telah berbincang tentang projek kesalinghubungan Malaysia-Thailand.

Ini meliputi pembinaan jajaran jalan menghubungkan Kompleks Kuarantin, Kastam dan Imigresen (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao.

“Selain itu, pembinaan jambatan persahabatan kedua merentasi Rantau Panjang-Sungai Golok, dan jambatan baharu untuk Pengkalan Kubor-Tak Bai turut dibincangkan untuk disegerakan.

“Kami berdua bersetuju agar agensi berkaitan dapat menyegerakan pembinaan projek-projek ini bagi kelancaran pergerakan rakyat dan barang-barang di antara kedua-dua negara,” kata beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan