32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Peniaga nasi lemak didenda RM50,000 anjur ‘wang kutu’

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG penjual nasi lemak didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, selepas mengaku bersalah menganjurkan kumpulan ‘wang kutu’ dengan menawarkan pulangan berlipat kali ganda pada 2018.

Tertuduh, Nor Jaimah Kamarudin, 38, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu yang disertai lima individu melalui laman sosial Facebook antara Januari hingga Ogos 2018.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Kubang Semang, Bukit Mertajam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 (1) Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta28) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Iqbal Mohd Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Shamsher Singh Thind.

Ketika prosiding, Shamsher memohon mahkamah meringankan hukuman anak guamnya dengan alasan tertuduh adalah peniaga nasi lemak di tepi jalan dan perlu menyara tiga anak berusia empat hingga lapan tahu, selain kesalahan pertama dilakukan tertuduh.

Bagaimanapun, Mohd Iqbal memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak terbabit dalam kegiatan itu.

Katanya, kesalahan itu sangat serius memandangkan ia bukan kaedah kutu tradisional, sebaliknya menawarkan kutu dengan pulangan berlipat kali ganda dengan syarat perlu mencari ahli seramai mungkin.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM50,000 dan jika gagal bayar tertuduh akan dipenjara setahun. Tertuduh kemudian memilih untuk membayar denda.

Pada September 2020, Nor Jaimah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Butterworth kerana kebanyakan saksi berada di negeri ini.

Ketika itu, wanita berkenaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

-EDISI9

Terkini

Malaysia kecewa kuasa veto diguna halang Palestin anggotai PBB

MALAYSIA menyuarakan rasa bimbang dengan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan