28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Kes Covid-19 di Indonesia, Thailand turut melonjak hari ini

Mesti Baca

KES harian Covid-19 yang melonjak bukan hanya berlaku di negara ini malahan turut dicatatkan oleh beberapa negara di rantau ini terutama Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura.

Di Indonesia, hari ini merekodkan jumlah kes baharu sebanyak 33,729 kes berbanding 32,211 kes semalam.

Daripada jumlah itu, negara itu merekodkan 44 kematian menjadikan keseluruhan kematian akibat pandemik adalah sebanyak 144,497 kes.

Menurut data Worldometers.info, sebuah organisasi yang mengumpul data-data kes Covid-19 di seluruh dunia, Thailand turut mencatatkan peningkatan kes baharu hari ini.

Negara itu merekodkan 10,490 kes berbanding 9,909 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu adalah sebanyak 2,486,122.

Hari ini sahaja sebanyak 21 kematian direkodkan menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah 22,274 kes.

Sementara itu, di Filipina kes baharu sedikit menurun yang mana hari ini merekodkan 7,689 kes berbanding 8,344 kes semalam.

Bagi negara kecil seperti Singapura, turut mencatatkan peningkatan kes mendadak iaitu sebanyak 13,208 kes semalam manakala untuk rekod hari ini belum dikemas kini setakat 8.45 malam ini.

Sebelum ini, orang ramai mula bimbang berikutan peningkatan kes yang mendadak direkodkan di Malaysia ekoran ‘ketibaan’ varian Omicron sejak awal tahun ini.

Hari ini sahaja sejumlah 9,711 kes baharu direkodkan berbanding 7,234 semalam sekali gus melonjak berbanding sekitar 3,000 hingga 4,000 kes sebelum ini.

Pada pertengahan bulan lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjangkakan kes Covid-19 akan kembali meningkat susulan gelombang Omicron mula melanda negara.

Biar pun begitu, beliau menegaskan, keadaan tersebut terkawal berikutan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk negara itu sudah tinggi.

Khairy berkata, pada masa yang sama sistem kesihatan juga sudah bersiap siaga sementara kes serius juga semakin berkurangan.

“Gelombang Omicron bermula di Malaysia. Kes akan meningkat namun Insya-Allah terkawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi.

“Sistem kesihatan sudah bersiap-siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini. Mask (pelitup muka). TRISS. Booster (dos penggalak). PICKids,” katanya menerusi ciapan di twitternya baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini telah memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, negeri mahupun daerah.

Dalam satu majlis di Bera, Pahang pada 23 Januari lalu, Ismail Sabri turut memberi jaminan tiada lagi sekatan untuk rakyat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri meskipun jumlah kes meningkat. – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan