28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kekalkan persefahaman, pelihara kestabilan politik – Agong

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa syukur dengan kestabilan politik negara sejak perjanjian persefahaman secara dwipartisan dibentuk antara kerajaan dan pembangkang.

Titah Seri Paduka Baginda, dengan kestabilan tersebut, Malaysia kini boleh menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.

Seri Paduka bertitah, hasil kesepakatan dan kematangan tersebut membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 berjaya diluluskan dengan lebih dua pertiga Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara,
Disember lalu.

“Sesungguhnya peristiwa tersebut bakal terpahat sebagai detik bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia. Kematangan politik seperti inilah yang didambakan oleh rakyat Beta.

“Melangkah ke hadapan, Beta menyeru kepada sekalian Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan juga memelihara kestabilan politik yang telah tercapai,” titah Baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14 hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, tahun 2021 menyaksikan pemulihan ekonomi negara yang semakin baik pascapandemik COVID-19.

Bagaimanapun, kemunculan varian baharu Omicron di seluruh dunia dan bencana banjir yang melanda pada penghujung tahun 2021 telah sedikit merencatkan pemulihan tersebut.

Justeru, Baginda menghargai tindakan pantas kerajaan membantu mangsa banjir menerusi penyaluran bantuan bernilai RM1.4 bilion secara terus kepada mereka yang terkesan.

Selain itu, titah Baginda, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan kewangan bagi pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam berjumlah RM6 bilion.

“Menghadapi tahun 2022, marilah kita terus mengukuhkan strategi dan ketahanan dalam mendepani cabaran COVID-19. Pemulihan ekonomi negara perlu disegerakan agar negara tidak akan ketinggalan.

“Bantu dan mudahkan segala urusan rakyat untuk membina semula kehidupan mereka dengan rasa selamat, aman dan makmur demi negara kita yang tercinta,” titah Baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah juga bertitah, Baginda percaya usaha kerajaan melaksanakan dasar dan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional menerusi tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan bagi membanteras segala bentuk jenayah rasuah.

Titah Baginda, kerajaan juga sedang menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui inisiatif Kerajaan Digital secara end-to-end supaya lebih telus, cekap dan profesional.

“Pada kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan Beta di atas taat setia dan sumbangan ikhlas semua petugas barisan hadapan negara, anggota-anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur.

“Sumbangan mereka ini amatlah besar dan beyond the call of duty. Semoga semua penjawat awam terus komited, berdedikasi dan fokus untuk sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat Beta,” jelas Baginda.

Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda menitahkan agar kebajikan anggota perkhidmatan awam juga perlu terus dibela baik daripada segi kesihatan, pendidikan, perumahan dan bantuan kebajikan.

Ini merangkumi anggota yang sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan