29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

JKNS nafi remaja meninggal dunia selepas ambil dos penggalak

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan isu tular di aplikasi WhatsApp mengenai seorang remaja yang meninggal dunia disebabkan dos penggalak Covid-19 baru-baru ini.

Pengarah JKNS Dr Rose Nani Mudin berkata, pihaknya sudah membuat siasatan segera berhubung isu berkenaan yang turut membabitkan Hospital Tuaran.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati isu yang ditularkan adalah palsu dan pesakit meninggal dunia pada 12 Februari lalu.

“Punca sebenar kematiannya adalah disebabkan jangkitan paru-paru dan penyakit jantung sejak lahir (congenital heart disease) yang semakin tenat dan bukannya disebabkan dos penggalak vaksin Covid-19 seperti yang didakwa.

“Keadaan pesakit sudah diterangkan kepada ahli keluarga pesakit dan mereka menerima penerangan mengenai punca kematian dengan baik.

“Siasatan juga mendapati bahawa pesakit menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 31 Julai dan dos kedua pada 21 Ogos tahun lalu.

“Ibu pesakit dan pihak Hospital Tuaran sudah mengesahkan pesakit tidak pernah mengambil dos vaksin penggalak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ujar Rose Nani lagi, satu laporan polis sudah dibuat oleh ibu pesakit pada semalam dengan menafikan bahawa kematian anaknya adalah disebabkan oleh dos penggalak vaksin Covid-19.

Advertisements

“Dia juga menafikan bahawa ahli keluarga yang menularkan di aplikasi WhatsApp mengenai kematian anaknya disebabkan oleh dos penggalak.

“Pihak Hospital Tuaran juga membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut mengenai penularan berita palsu dan gambar pesakit di aplikasi terbabit oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“JKNS menggesa kepada semua rakyat Sabah agar tidak menyebarkan berita palsu dalam mana-mana media sosial atau aplikasi yang lain,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan terbabit bukan sahaja mengelirukan orang ramai tetapi juga boleh mengancam privasi pesakit dan ahli keluarganya.

“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu berkenaan atas tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“JKNS bersimpati dengan keluarga pesakit dan berharap perkara seperti ini tidak berlaku pada masa akan datang,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan