25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Jemaah umrah terkesan bakal terima sagu hati 18 Februari ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JEMAAH umrah yang terpaksa membatalkan pemergian ke Tanah Suci selepas penangguhan sementara ibadah itu susulan penularan varian Omicron akan menerima bayaran sagu hati sebanyak RM1,671 pada 18 Februari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, bayaran berkenaan akan dikreditkan ke dalam akaun simpanan Tabung Haji (TH) penerima.

Menurut beliau, kaedah bayaran diputuskan dalam mesyuarat antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kewangan dan TH bagi memudahkan urusan.

“MOTAC menyerahkan senarai nama 8,027 jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima sagu hati kepada TH.

“Daripada jumlah itu, TH mendapati hampir 1,000 jemaah umrah belum mempunyai akaun simpanan TH ,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Idris menasihatkan jemaah umrah yang belum mempunyai akaun simpanan TH supaya membuka akaun sebelum 18 Februari.

Advertisements

Menurut beliau, jemaah umrah boleh melayari www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH secara dalam talian dan hadir ke kaunter TH yang terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik.

“Bagi yang mempunyai kesukaran mendaftar secara dalam talian, boleh terus ke cawangan TH terdekat untuk tujuan pendaftaran dan akan dibantu sebaiknya oleh kakitangan TH.

“Jemaah yang terkesan akan dilayan dengan serta merta tanpa perlu beratur dan menunggu lama.

“Saya juga memaklumkan kepada pihak TH supaya segala tuntutan pembayaran akan dipermudahkan semaksimanya supaya tidak berlaku kesulitan terhadap tuntutan. Semoga semua urusan penerima dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari lalu berikutan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah dan kebenaran semula diberikan mulai 8 Februari lalu.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan