25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Dadah: MBFM seru semua pihak berganding bahu jadi benteng

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MAJLIS Belia Felda Malaysia (MBFM) menyeru semua pihak berganding bahu menjadi benteng yang dapat mencegah kegiatan penagihan dadah di kawasan Felda.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Muhammad Fadzli Hassan berkata, semua pihak sama ada pengurusan Felda di tanah rancangan, pimpinan di peringkat blok, rancangan dan wilayah perlu bersama-sama menangani kegiatan yang membimbangkan itu.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius laporan akhbar perdana yang menyiarkan kegiatan penagihan dadah di kawasan Felda yang berada pada tahap meresahkan sehingga dijoloki sebagai ‘lubuk dadah’.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman bahawa pengedar dadah dipercayai menjadikan tanah-tanah rancangan Felda sebagai lubuk jual beli bahan terlarang itu kepada penagih di kawasan terbabit haruslah dipandang berat.

“Kawasan Felda yang terlampau luas dan terletak di pedalaman memudahkan pengedar membuka laluan-laluan tikus untuk menyeludup masuk bekalan dadah ke dalam tanah-tanah rancangan berkenaan, malah membekalkannya juga di kampung-kampung berdekatan.

“Kenyataan ini suatu yang pahit, tetapi realitinya perlu dihadapi dengan sikap konstruktif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Fadzli yang juga Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata, pengisian masa dapat dipenuhi dengan lebih kreatif melalui pelbagai kegiatan berfaedah yang ditawarkan NGO, kerajaan mahupun pemerintah berpusat samada secara fizikal ataupun digital.

Beliau percaya banyak inisiatif yang telah diambil oleh pihak pengurusan Felda untuk menawarkan ruang membangunkan bakat dan membina masa depan generasi Felda.

Ujarnya, Indeks Belia Malaysia yang mengukur pembangunan belia daripada semua aspek turut memasukkan domain waktu senggang dan jenis-jenis aktiviti yang dilakukan pada waktu senggang sebagai ukuran bagi memastikan pembangunan belia yang positif dan berkualiti.

“Ternyata penglibatan belia dalam aktiviti berfaedah seperti sukan, persatuan, keusahawanan, sosial telah menyumbang kepada mengurangkan keterlibatan mereka dalam tingkah laku serong termasuklah penyalahgunaan dadah,” katanya.

Jelas beliau, pihak MBFM sendiri giat menganjurkan program seperti KAMU (Kem Anak Muda) Belia Felda yang mendapat kerjasama erat daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Felda dan mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),

Katanya, antara pendekatan yang ditanamkan sepanjang program ialah kemahiran kepimpinan, pengurusan, kesukarelawanan, keusahawan termasuk diberikan nilai tambah dengan penekanan oleh pihak PDRM dan AADK mengenai kesedaran bahana dadah dan ancaman jenayah lainnya yang dikaitkan dengan generasi FELDA.

“Namun, ini semuanya tidak akan dapat membawa apa-apa faedah jika belia Felda sendiri tidak memanfaatkan tawaran yang diberikan,”katanya.

Menurutnya, persatuan-persatuan belia yang terdapat di tanah rancangan juga merupakan wadah terbuka yang dapat dimanfaatkan untuk mengisi waktu senggang bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam tingkah laku devian.

Katanya, MBFM memberi sokongan penuh kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan perlu bagi menangani isu ini agar tidak terus parah.

“Kami juga bersedia menjadi mediator bagi menawarkan kelompok ini peluang kedua bagi membangunkan diri mereka keluar daripada kancah penyalahgunaan dadah ini.

“Kami juga mengharapkan agar pengurusan Felda terus memberi perhatian kritis berterusan terhadap isu ini termasuklah menjalankan program-program inovasi sosial dan transformasi minda mereka yang terlibat,” katanya.

Pada masa sama, kata beliau, MBFM turut bersedia menjadi pemudah cara dengan membangunkan modul-modul yang boleh dilaksanakan. -Edisi 9

Terkini

Kolam selam tempur siap Jun, kalau tidak JKR jawab – MB

KOLAM selam tempur di Kem Iskandar, Mersing dijangka siap pada Jun ini, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz...

Lagi Artikel Berkaitan