30.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Tapak pelupusan sampah terbakar: 44 penduduk dipindah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

HANYA 44 penduduk daripada kira-kira 400 orang yang tinggal berdekatan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang mengalami kebakaran dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, tiada pertambahan penduduk ke PPS terbabit setakat pagi ini berbanding semalam.

“Seramai 36 individu daripada lapan keluarga tinggal di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah, manakala lapan orang daripada dua keluarga ditempatkan di SK Bakap Indah.

“Keadaan di dua PPS adalah terkawal,” katanya hari ini, lapor Kosmo Online.

Advertisements

Kebakaran seluas 6.5 hektar di tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.2 hektar tersebut memasuki hari kelapan hari ini selepas kejadian itu dilaporkan berlaku petang Rabu lalu.

Keselamatan kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga di kawasan sekitar iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dilaporkan terjejas dan mereka diminta berpindah ke PPS berikutan kualiti udara yang tercemar.

Semalam media melaporkan, sebanyak 10 buah sekolah berdekatan diarahkan ditutup selama tiga hari bermula hari ini berikutan indeks udara menunjukkan bacaan AEGL 3 iaitu kepekatan udara yang memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan