29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

SHRF intai pasaran lebih luas, sasar 20,000 ejen tahun ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SHRF Food Industries Sdn Bhd mengintai pasaran perniagaan di luar negara menerusi produk masakan dan makanan segera keluarannya, Sharifah bagi memacu pertumbuhan jualannya ke tahap lebih tinggi. 

Pengarah Urusan SHRF, Rohani Borhan berkata, ketika ini produk keluarannya itu sudahpun menembusi pasaran negara luar seperti Singapura, Hong Kong, Brunei dan China. 

“Buat masa ini syarikat sedang terokai peluang dengan memasarkan produk kari ayam di Hong Kong dan China dan Alhamdulillah sambutan amat memberangsangkan. 

“Negara seperti China dan Hong Kong ini, jika pengedaran dibuat di sana, kuantitinya sangat besar. Di Hong Kong sahaja, kopitiam di sana berjumlah 200 cawangan, empat kali ganda daripada negara kita.

“Jadi apabila syarikat melihat mampu memenuhi keperluan dan permintaan sesebuah negara tersebut, saya yakin untuk tembusi pengedaran di negara lain pula,” katanya kepada Edisi 9 baru-baru ini.

Sharifah adalah jenama produk masakan, makanan segera yang terdiri daripada briyani, kuah, pes dan sambal.

Produk Sharifah yang dikilangkan sendiri oleh SHRF Food Industries Sdn Bhd itu melalui proses teknologi pembungkusan retort

Rohani berkata, pihaknya telah mendapat kontrak mengedarkan produknya bagi keperluan jemaah haji dan umrah yang ditandatangani bersama syarikat Arab Saudi namun belum dapat dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19. 

“Insya-Allah tahun depan, mungkin akan dapat dilaksanakan memandangkan sebelum ini dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19, jadi urusan pengedaran terpaksa ditangguh dahulu,” katanya. 

Produk Sharifah keluaran SHRF turut dijual menggunakan mesin jualan. – Foto MOHD NAIM AZIZ

Beliau berkata, sejak memulakan perniagaan pada 2012, pihaknya mendapat pulangan yang memberangsangkan sehingga mampu membuka kilang sendiri di Batu Caves, Selangor. 

Katanya, syarikat terokai teknologi pembungkusan retort ini disebabkan melihat potensi perniagaan ini yang boleh pergi jauh ke peringkat global. 

“Sebagai contoh, syarikat turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan jualan CSR bencana alam. Produk telah sampai sehingga ke Iran, Palestin,” katanya.

Sementara itu, dari segi pemasaran di negara, Rohani berkata, syarikat kini sedang merangka strategi untuk menggunapakai sistem ejen dengan menyasarkan 20,000 ejen tahun depan.

“Sekarang ini, jumlah ejen yang ada adalah seramai 200 dan syarikat optimis mampu mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Selain itu, pembelian mesin jualan (vending machine) turut membantu merancakkan lagi perniagaan dengan pelaburan sekitar RM20,000.

“Dengan adanya mesin ini, ia akan lagi memudahkan dari segi pemasaran Sharifah. Syarikat sasar untuk tembusi lokasi-lokasi yang sesuai seperti hospital dan sekolah.

“Di mana susah dapat makanan di situ kita akan pergi,” katanya yang memberitahu mempunyai lebih 46 koleksi produk masakan, makanan segera. 

Antaranya rendang dendeng, kari ayam, sambal sotong kering, sambal ikan bilis dan nasi briyani gam ayam. 

Rohani mempelawa para suri rumah menjadi sebahagian daripada rakan niaga mesin jualan di samping menjadi ejen Sharifah.

Katanya, bimbingan akan diberikan secara percuma kepada mereka yang ingin menjana pendapatan. – Edisi 9 

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan