RICHIAMO Coffee Sdn Bhd, pemilik rangkaian kedai kopi premium Richiamo Coffee membuka cawangannya yang ke-70 di Bangunan Canseleri Syed Sirajuddin UiTM Shah Alam hari ini.
Pembukaan cawangan terbaru itu turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UiTM, Prof. Ts Dr. Roziah Mohd. Janor.
Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah berkata, cawangan ke-70 itu dikendalikan oleh AAA Coffee Shop yang mana syarikat itu telah pun mengendalikan dua cawangan lain di dalam kampus UiTM Puncak Alam.
“Bagi pihak Richiamo Coffee saya berterima kasih di atas peluang dan kesempatan yang diberikan oleh UiTM yang membenarkan kami bertapak di sini.
“Untuk pengetahuan juga selain dua cawangan di Kampus UiTM Puncak Alam, Richiamo Coffee juga telah beroperasi di Hospital UiTM di kampus tersebut dan menjadikan tiga cawangan kami di Kampus UiTM Puncak Alam baru sahaja beroperasi bulan Oktober, November dan dua minggu lepas,” katanya hari ini.
Di majlis perasmian ini juga Richiamo Coffee melalui AAA Coffee Shop turut menyerahkan sumbangan ke Tabung Cakna OKU UiTM yang disampaikan olej Pengarah Pemasarannya, Adam Kassim.
Richiamo Coffee merupakan jenama tempatan milik 100 bumiputra mula beroperasi pada tahun 2015 dan kini telah melebar sayap ke seluruh negeri di tanah air.
Muhammad Zamry berkata, tahun 2022 akan ada beberapa cawangan baharu akan dibuka lagi.
Dalam pada itu beliau berkata, Richiamo Coffee juga mewujudkan kerjasama dengan UiTM dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab social korporatnya (CSR) dengan mewujudkan kerjasama bagi memperkasakan golongan orang OKU di institusi pengajian terbabit.
“Projek ini merupakan yang pertama seumpamanya di institusi pengajian tinggi di negara ini untuk golongan OKU di mana kami membuka tiga cawangan Richiamo Coffee dibuka dengan kerjasama Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPO) sebagai rakan strategik rasmi,” katanya.
Menurut Muhammad Zamry, pihaknya telah berbincang dengan UPO dan bersetuju untuk menyediakan 40 peratus pekerja sepenuh masa atau separuh masa adalah OKU dan B40.
Sebagai permulaan katanya, sehingga 30 October 2021, tiga OKU sedang bekerja di Richiamo Coffee, Attijarah UiTM Puncak Alam.
Beliau menambah, modul latihan telah diwujudkan oleh UPO UiTM bagi mempersiapkan pekerja-pekerja bukan OKU menerima rakan OKU bekerja di bawah satu bumbung.
“Sebagai menyokong langkah ini, Richiamo Coffe juga bersetuju untuk menyumbang sejumlah peratus keuntungan dari ketiga-tiga cawangan di Kampus UiTM itu disumbangkan ke Tabung Cakna OKU UiTM bagi kemampanan tabung untuk tujuan pemerkasaan dan kebajikan OKU di UiTM,” ujarnya.
Beliau menambah, latihan percuma kepada para pekerja OKU dan B40 turut diberikan di semua cawangan di Kampus UiTM itu selain berpeluang untuk mengembangkan lagi karier di seluruh cawangan Richiamo Coffee di seluruh negara.
Malah jika kerjasama ini berjaya ia boleh membuka peluang melalui latihan keusahawan mahasiswa OKU UiTM sebagai pengusaha dan pemilik Richiamo Coffee di masa depan.
-EDISI9