28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Penubuhan MSDN kukuhkan tadbir urus data, statistik negara

Mesti Baca

MAJLIS Statistik dan Data Negara (MSDN) yang ditubuhkan bagi bertindak sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi panduan dan hala tuju bagi mengukuhkan tadbir urus sistem statistik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini penting memandangan data merupakan aset negara yang perlu diurus dengan baik serta dapat memberi pulangan yang besar dalam bentuk maklumat yang boleh digunakan dalam merangka dasar dan wawasan negara.

“Kepelbagaian maklumat di peringkat nasional amat kritikal untuk diselaraskan. Krisis kesihatan dan bencana alam yang melanda negara turut menuntut kepada keperluan ketersediaan data yang lebih komprehensif, kejat dan bersepadu,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat pertama MSDN di Putrajaya hari ini.

MSDN yang diluluskan penubuhannya pada Oktober 2020 turut dianggotai oleh menteri-menteri Kabinet berkaitan, ahli akademik, wakil sektor awam, sektor swasta dan industri.

Manakala Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pula berperanan sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi panduan dan hala tuju bagi mengukuhkan tadbir urus sistem statistik negara.

Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat tersebut MSDN bersetuju untuk memperkasakan DOSM sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik.

Seorang Ketua Pegawai Data (CDO) juga akan dilantik melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap kementerian, jabatan dan agensi termasuk di peringkat negeri mulai tahun ini secara berperingkat.

Ismail Sabri berkata, bagi menyokong MSDN di peringkat Persekutuan, Majlis Statistik dan Data Negeri/Wilayah (MSDNgW) akan turut ditubuhkan di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan.

Kata beliau, ini bagi memantapkan tadbir urus sistem statistik negeri dan daerah sehingga peringkat terkecil seperti kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada masa yang sama, sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara ditubuhkan untuk memacu kolaborasi antara kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda yang berpandukan halatuju MSDN.

“Adalah dihasratkan dengan penubuhan MSDN ini mampu memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data yang lebih holistik dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” kata beliau. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan