KADAR pengangguran pada Februari 2023 turun kepada 3.5 peratus atau dengan 591, 900 penganggur, turun 0.1 peratus atau 596, 100 orang pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, kedudukan pasaran buruh negara terus stabil sejajar dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa.
“Bilangan tenaga buruh pada Februari 2023 berada pada tren menaik dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.78 juta orang, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi pada 69.9 peratus (Januari 2023: 69.8 peratus).
“Situasi yang menggalakkan ini adalah berikutan pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur menunjukkan trend penurunan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Statistik tersebut dilaporkan dalam Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Februari 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, kategori pekerja meliputi 75.7 peratus, yang secara konsisten merangkumi komposisi terbesar penduduk bekerja pada Februari 2023.
“Kategori ini mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.25 juta orang (Januari 2023: 12.24 juta orang).
“Penduduk bekeria sendiri turut mencatatkan kenaikan 0.5 peratus merekodkan 2.89 juta orang pada Februari 2023 (Januari 2023:2.88 juta orang),” katanya.
Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan tersebut, Mohd. Uzir berkata, mereka yang bersedia bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 80.3 peratus daripada jumlah penganggur pada Februari 2023.
“Bilangan dalam kategori ini berkurang sebanyak 1.3 peratus merekodkan 475,500 orang (Januari 2023: 481.6 ribu orang).
“Daripada jumlah penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.0 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 6.3 peratus.
“Manakala, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia, meningkat 1.7 peratus kepada 116.4 ribu orang (Januari 2023: 114.5 ribu orang),” ujarnya. – Edisi 9