29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kutipan hasil kastam RM42.50 bilion berjaya atasi sasaran – PM

JKDM juga berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion

Mesti Baca

DATUK Seri Ismail Sarbi Yaakob memuji kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana berjaya mengutip hasil berjumlah RM42.50 bilion sepanjang tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri, jumlah itu mengatasi sasaran sebanyak RM40 bilion yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Pada masa yang sama, JKDM juga berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.

“Dengan prestasi sebegini, saya amat yakin JKDM akan terus bergerak maju sebagai Economic Frontliners atau Petugas Barisan Hadapan Ekonomi yang berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), ke arah menyuburkan
kemakmuran Keluarga Malaysia.

“Justeru pada 2022 ini, saya berharap agensi ini dapat meningkatkan sasaran pungutan hasil. Ini dapat dihasilkan dengan usaha gigih seluruh warga JKDM dengan kerjasama daripada semua pihak khususnya orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Kastam Sedunia Ke-40 di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di Kelana Jaya hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latiff Abdul Kadir.

Perdana Menteri berkata, tema sambutan Hari Kastam tahun ini, Memperluas Transformasi Digital Kastam Melalui Pemerkasaan Budaya dan Ekosistem Data adalah relevan dengan situasi semasa.

Beliau berkata, ia juga bertepatan dengan usaha memodenkan perkhidmatan serta operasi JKDM ke arah mencorak persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan peniaga dan pelabur, sama ada di lapangan domestik mahupun antarabangsa.

“Perkembangan teknologi digital, khususnya dalam sektor perkongsian data serta maklumat, merupakan platform yang penting dan telah diaplikasikan secara meluas dalam meneruskan kelangsungan perkhidmatan awam, terutamanya dalam mendepani dampak pandemik COVID-19 yang melanda.

“Sebagai sebuah jabatan yang dinamik dan mampan, JKDM perlu memastikan segenap warga Kastam celik digital dan sentiasa bersedia untuk mengadaptasi transformasi teknologi semasa dalam membina serta membudayakan ekosistem data,” katanya.

Jelas Perdana Menteri, anjakan tersebut selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang telah dianjurkan oleh kerajaan ke arah memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif, seterusnya mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi.

Ismail Sabri berkata, hasrat menggerakkan transformasi digital dalam perkhidmatan awam itu juga bukanlah suatu perkara baharu yang asing, malah telah digariskan dengan jelas dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021–2025 ke arah memartabatkan ketelusan dan memperkasa kecekapan dalam urusan perkhidmatan.

Katanya, ia juga telah termaktub dalam Tujuh Teras Strategik Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta turut dirangkum dalam memeta halatuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah beliau lancarkan pada September lepas.

“Saya percaya suntikan transformasi digital melalui pemerkasaan budaya dan ekosistem data dalam urusan
perkhidmatan dan operasi JKDM mampu memperkasa prestasi jabatan ini sekali gus mencorak Malaysia sebagai
sebuah negara maju yang kompetitif dan berdaya saing,” katanya.

Di samping itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sentiasa berusaha membantu JKDM untuk terus fokus dalam membanteras penyeludupan dan memudah cara perdagangan ke arah meningkatkan pungutan hasil dan memantapkan lagi kawalan sempadan negara.

Kata beliau, komitmen ini terbukti melalui penambahan bot peronda dan mesin pengimbas sebagai aset baharu JKDM bagi memantapkan kedaulatan perbatasan dan selanjutnya berupaya melancarkan aktiviti perdagangan rentas sempadan. – Edisi 9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan