25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Program VA disasar kutip sehingga RM2 bilion

Mesti Baca

KERAJAAN mensasarkan kutipan antara RM1 bilion hingga RM2 bilion daripada Program Pengakuan Sukarela dan Pengampunan (VA) bermula awal tahun ini sehingga 30 September depan.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang diberi mandat untuk melaksanakan program tersebut perlu menggerakkan jenteranya bagi memastikan sasaran kutipan itu dapat dicapai.

Beliau berkata, Program VA yang diumumkan dalam Bajet 2022 lalu, merupakan salah satu usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela dan melaporkan cukai yang sepatutnya.

Menurut beliau, jika dilihat dari sudut pungutan hasil pula, pencapaian kutipan kastam dan duti import lain boleh dipertingkatkan lagi.

“Saya faham ada cabaran dari segi pemindahan penghantaran (transshipment) yang tidak dikenakan bayaran, serta pengecualian duti import susulan perjanjian perdagangan bebas (FTA).

“Namun saya yakin, JKDM mampu mencapai sasaran yang lebih baik, terutamanya apabila negara kita terus mencatatkan jumlah perdangangan yang telah melonjak melebihi RM2 trilion bagi 11 bulan pertama tahun 2021.

“Dari keseluruhan nilai tersebut, RM1.1 trilion merupakan eksport, dan RM894 bilion merupakan import. Dengan ekonomi dunia dan negara yang dijangka terus memulih tahun ini, nilai ini dijangka akan terus meningkat,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-40 di Kelana, Jaya hari ini. Majlis dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tengku Zafrul turut yakin sasaran lebih tinggi mampu dicapai dengan penggunaan aset-aset fizikal tambahan JKDM seperti mesin pengimbas yang lebih moden serta bot ronda laju.

Beliau juga pasti JKDM dapat meneliti dengan lebih strategik aset-aset modal insannya tersendiri, terutamanya dari segi hala tuju strategik bagi memastikan keutuhan JKDM dalam jangka masa panjang, termasuk transformasi pengurusan.

“Suka saya untuk menekankan bahawa JKDM telah memainkan peranan sebagai salah satu agensi yang menggerakkan dasar dan inisiatif kerajaan.

“Sebagai contoh, JKDM telah memberi sumbangan besar dalam merealisasikan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Ini termasuklah pemberian remisi penalti, pengecualian cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai pelancongan dan duti eksport,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, sejak pandemik COVID-19 melanda negara, kerajaan telah melaksanakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion serta Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion manakala Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion.

Katanya, usaha-usaha tersebut adalah manifestasi keprihatinan dan usaha murni kerajaan bagi membantu golongan dan sektor yang terjejas dengan merangka pertumbuhan ekonomi berpaksikan rakyat. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan