30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KPM komited laksana inisiatif transformasi pendidikan Orang Asli

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) komited melaksanakan inisiatif transformasi pendidikan Orang Asli dan pribumi menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang berkualiti serta relevan dengan keperluan semasa.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, antara inisiatif itu termasuklah penubuhan Sekolah Model Khas Komprehensif K9 sehingga K11.

Menurut beliau, kerajaan mewujudkan kemudahan asrama di sekolah-sekolah yang mempunyai enrolmen 100 peratus murid Orang Asli, program khas murid Orang Asli serta program transformasi pendidikan Orang Asli bagi meningkatkan kadar kehadiran dan program intervensi murid Orang Asli dan pribumi.

“Ia bertujuan meningkatkan minat murid Orang Asli dan pribumi dalam pembelajaran menerusi model pembelajaran yang disesuaikan dengan konteks persekitaran mereka seperti Didik Hibur dan pelbagai modul yang dibangunkan UPSI.

“KPM juga mengambil pendekatan melalui pelbagai sesi libat urus dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), ibu bapa, ketua komuniti , pertubuhan bukan kerajaan termasuk NCER,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Bersepadu Orang Asli 2022 Empowerncer Akademik @Perak anjuran Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada Jumaat.

Hadir sama, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Ketua Bahagian Modal Insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datin Shahdee Datuk Ahmad.

Dr Mah berkata, dalam Bajet 2022, sebanyak RM274 juta diperuntukkan kepada komuniti Orang Asli untuk melaksanakan program peningkatan taraf hidup mereka seperti pemberian subsidi, bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan untuk manfaat hampir 200,000 masyarakat tersebut.

Malahan, katanya, kerajaan akan menaikkan kadar wang saku murid sekolah menengah kepada RM4 sehari.

Beliau berkata, pencapaian UPSI dalam kedudukan universiti dunia yang meningkat setiap tahun memperlihatkan keupayaannya merealisasikan usaha memajukan pendidikan di daerah Muallim, Perak serta Malaysia.

Justeru, katanya, sumbangan besar Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bekerjasama dengan dengan UPSI dan institusi pendidikan lain memberi manfaat yang besar terhadap masyarakat termasuk Orang Asli selain ibu bapa dan pendidik.

Dr Mah menyeru murid Orang Asli mengambil peluang meningkatkan tahap akademik serta aspek sahsiah, jati diri serta jiwa raga dari pelajar universiti untuk mengharungi cabaran hidup.

Sementara itu Shahdee berkata, program yang bermula pada 2 Januari itu melibatkan seramai 900 murid Orang Asli dari 15 buah sekolah di lima daerah iaitu daerah Muallim, Batang Padang, Kampar, Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar.

Program tersebut bertujuan memantapkan lagi akademik dan sahsiah murid selain memberi pendedahan kepada mereka tentang dunia luar.

“Program ini tujuan meningkatkan pencapaian akademik dan peratusan kehadiran murid orang Asli terutama dalam fasa peralihan ke tahun 6 dan sekolah menengah.

“Ia dilaksanakan menerusi kaedah pengajaran tambahan berkesan berdasarkan modul oleh pakar pendidikan UPSI yang merangkumi asas pembelajaran membaca menulis dan mengira (3M), kelestarian minat, motivasi, kemahiran insaniah, serta komunikasi,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan