INDIVIDU yang tidak mengambil vaksinasi COVID-19 berhadapan risiko kematian 62 kali ganda sekiranya mereka dijangkiti virus tersebut, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
KKM berkata, berdasarkan data dari 1 Disember lalu sehingga 6 Januari, didapati bagi setiap 100,000 penduduk, sebanyak 10,874 daripadanya dijangkiti COVID-19 adalah kalangan mereka yang belum divaksinasi.
Sementara, hanya 1,238 individu yang sudah menerima dos penggalak yang dijangkiti COVID-19.
“Bagi individu yang lengkap menerima vaksin pula sebanyak 4,255 telah direkodkan dijangkiti COVID-19.
“Bagi data kadar insiden kematian COVID-19 bagi setiap 100,000 penduduk pula mendapati sebanyak 555 individu yang belum divaksin yang dijangkiti COVID-19 berakhir dengan kematian,” kata kenyataan itu hari ini.
Data itu diperoleh hasil kajian yang dibuat oleh RECoVaM di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Manakala, dari data yang sama, hanya sembilan individu yang menerima dos penggalak dan 32 individu yang lengkap menerima vaksin berakhir dengan kematian.
Sebelum itu, kajian klinikal oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDCs) Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada 20 Oktober lalu mendapati orang dewasa yang tidak divaksin adalah 12 kali ganda berisiko mendapat jangkitan yang teruk berbanding mereka yang lengkap vaksinasi.
Menurut KKM, data tersebut adalah selari dengan kajian melibatkan lebih 14 juta populasi dewasa di Malaysia yang mendapati vaksinasi lengkap adalah berkesan dalam mencegah risiko jangkitan. -EDISI9