25.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

AirAsia sasar sebagai penghantar makanan terbesar Asia

Yakin Airasia Food mampu berkembang sepertimana kejayaan bidang penerbangannya sebelum ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AIRASIA Group meletakkan sasaran untuk menjadi syarikat penghantaran makanan dan e-panggilan terbesar di Asia daripada hanya menawarkan penerbangan di rantau ini, susulan kejayaan pengambilalihan platform perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian tempatan, Delivereat, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, beliau yakin Airasia Food dan Super App boleh menjadi antara syarikat penghantaran makanan dan e-panggilan serta agensi pelancongan dalam talian terbesar di Asia.

“Ketika (saya memulakan) AirAsia, saya sentiasa fikir kalau kami boleh menjadi syarikat penerbangan terbesar, dan kami berjaya melakukannya. Kami adalah syarikat penerbangan keempat terbesar di Asia… Kami bermula dengan hanya dua pesawat, 200,000 penumpang, dan kini kami mencatatkan 19 juta penumpang.

“Jadi saya duduk dan fikir, bolehkah kami menjadi syarikat penghantaran makanan dan syarikat e-panggilan terbesar? Hari ini, secara rasminya saya berkata bahawa kami boleh… saya berpandangan, kami akan melakukannya dan (mengatasi) pesaing sedia ada sebagaimana kami mengatasi syarikat penerbangan lain,” katanya lapor Bernama.

Fernandes berkata, beliau mahu mengembangkan perkhidmatan penuh aplikasi itu ke Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina dalam jangka pendek.

Terdahulu, beliau juga mengumumkan pelantikan Pengasas Delivereat, Tan Suan Sear sebagai Ketua Kumpulan Airasia Food di bawah AirAsia Super App serta Leong Shir Mein sebagai Ketua Perkhidmatan Atas Permintaan bagi cabang logistik AirAsia, Teleport.

Beliau berkata, AirAsia Group gembira atas perkongsian ini memandangkan ia menyokong strategi syarikat untuk terus memberi perkhidmatan kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan dan menjadi syarikat penyampaian nilai terbaik di ASEAN.

Beliau turut mengatakan rasa kagum terhadap Delivereat, sebuah syarikat penghantaran tempatan yang mampu berdiri sendiri, mengekalkan kemampanan operasi syarikat dan menawarkan platform perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat.

Pada Ogos lepas, cabang logistik digital AirAsia, Teleport, menandatangani perjanjian untuk membeli 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Delivereat pada AS$9.8 juta (AS$1=RM4.17) bagi mengukuhkan perkhidmatan penghantarannya di negara ini.- Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan