TONY Fernandes yang merupakan pemilik bersama kelab Liga Kejohanan Inggeris, Queen Park Rangers (QPR) mengesahkan dia menjual kesemua sahamnya di Loftus Road.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd. itu membeli kelab London pada 2011 bersama Ruben Gnanalingham dan Kamarudin Meranun namun kini akan memberi fokus kepada perniagaannya bersama AirAsia.
QPR menamatkan saingan liga di kedudukan ke-20 di bawah bimbingan Gary Ainsworth musim lalu selepas memecat Neil Critchley pada Februari.
Fernandes menerusi laman web rasmi kelab berkata, penglibatannya bersama The R’s itu menakjubkan dan ada naik serta turunnya.
“Selain keluarga, saya merasai pengalaman yang menggembirakan, terima kasih QPR.
“Di atas padang, terdapat kejayaan yang istimewa dan satu penghormatan apabila kita layak ke Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Wembley.
“Keputusan saya melangkah pergi ini dengan rasa berat hati. Saya akan terus mengikuti keputusan QPR dan berharap ahli lembaga pengarah baharu akan membawa kejayaan,” katanya.
Untuk rekod, QPR tersingkir dari EPL pada 2015 dan terus merudum selepas itu dengan hanya sekali berada di kedudukan 10 terbaik liga, di tempat kesembilan pada 2020-21. – Edisi 9