32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Bersatu kumpul dana RM2 juta bantu mangsa banjir

Sebanyak RM1 juta telah digunakan untuk membeli peralatan pembersihan dan barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa terlibat

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya mengumpul dana sebanyak RM2 juta bagi membantu mangsa banjir menerusi Tabung Bencana Banjir parti yang ditubuhkan baru-baru ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak RM1 juta telah diumumkan oleh beliau ketika Perhimpungan Agung Bersatu yang diadakan pada 18 Disember lalu.

Bekas Perdana Menteri berkata, melihat keperluan mangsa banjir yang amat terdesak, beliau telah berjaya mendapat dana tambahan RM1 juta lagi hasil sumbangan beberapa dermawan.

“Tabung Bencana Banjir Bersatu yang berjumlah RM1 juta sepertimana yang diumumkan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu telah digunakan untuk tujuan membantu mangsa-mangsa banjir termasuk membeli peralatan pembersihan dan barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa terlibat,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah menyertai misi bantuan pasca banjir Skuad Prihatin Bersatu di Kampung Jawa, Shah Alam dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Muhyiddin Yassin menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Selangor, hari ini. – Sumber: Facebook

Skuad Prihatin Bersatu itu telah ditubuhkan sejurus banjir besar melanda negara pada 19 Disember lalu dan ketika ini sedang giat membantu mangsa-mangsa banjir di semua negeri yang ditimpa bencana tersebut.

Beliau berkata, misi bantuan hari ini tertumpu kepada kerja-kerja membersih kawasan rumah dan menyampaikan bantuan keperluan harian kepada mangsa-mangsa banjir yang turut disertai sukarelawan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (TSMCGF) dan Bersatu Bahagian Hulu Langat.

“Saya telah meluluskan bantuan segera dua kontena sebagai penempatan sementara untuk dua keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal akibat banjir di Hulu Langat.

“Pegawai Daerah Hulu Langat yang turut hadir juga mengumumkan bantuan kerajaan bagi pembinaan semula sebuah rumah kampung yang musnah,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau juga turut menyampaikan bantuan segera berupa barangan makanan, pakaian, peralatan dapur dan barangan keperluan harian lain kepada beberapa keluarga yang dilawati.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri itu menyarankan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya membuat kajian segera untuk mendalam dan meluruskan Sungai Langat bagi mengelak banjir besar berulang pada masa akan datang.

Selain itu, beliau juga berharap pembayaran wang saguhati kepada mangsa banjir seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan dapat disalurkan dengan segera bagi meringankan beban mereka.

“Bantuan dari segi kesihatan dan psikologi juga perlu disediakan bagi membantu trauma yang dihadapi oleh mereka yang telah kehilangan harta benda dan ada juga yang kehilangan ahli keluarga,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Malaysia kecewa kuasa veto diguna halang Palestin anggotai PBB

MALAYSIA menyuarakan rasa bimbang dengan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan