31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Penyertaan Gerakan dalam PN langkah yang tepat – Muhyiddin

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENYERTAAN Gerakan ke dalam Perikatan Nasional (PN) satu pilihan yang tepat sekaligus melengkapkan PN sebagai sebuah gabungan parti politik yang mewakili semua kaum di Malaysia.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengalu-alukan penyertaan Gerakan berkata, tugas Gerakan yang selanjutnya adalah untuk bersama-sama memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang kuat dan disokong oleh majoriti rakyat.

“Hanya dengan sokongan majoriti rakyat, PN akan dapat membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil untuk melaksanakan dasar-dasar prihatin rakyat, mempertahankan prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang serta memaju dan memakmurkan negara yang hasilnya dapat dikongsi oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.

“Inilah tugas dan cabaran besar bagi Gerakan sebagai sebuah parti anggota Perikatan Nasional.

“Saya percaya tugas ini akan dapat digalas dengan baik oleh seluruh pimpinan dan ahli Gerakan yang berjuang dengan semangat satu hati untuk mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam masa sama, bekas Perdana Menteri itu optimis bahawa PN akan menjadi gabungan politik pilihan rakyat pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, keyakinan tersebut berdasarkan PN menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat dan berintegriti selari dengan nilai dan aspirasi majoriti rakyat di negara ini.

Katanya, PN telah membuktikan mampu mentadbir negara dengan baik dan mengamalkan dasar prihatin rakyat serta mempertahankan prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang sepanjang mentadbir negara sebelum ini.

“Rekod ini akan kita pertahankan dan persembahkan kepada rakyat untuk mereka membuat penilaian,” katanya

Katanya, PN juga sebuah gabungan politik pelbagai kaum yang sentiasa menekankan aspek perpaduan kaum dan agama dalam masyarakat majmuk di negara ini.

“PN beriltizam untuk membela nasib semua rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah.

Tambah beliau, komitmen itu telahpun dilaksanakan oleh PN menerusi Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan perkara asas paling utama dalam dasar itu ialah memastikan tiada siapa yang akan tertinggal.

“Kita akan berkongsi khazanah kekayaan negara secara bersama dan maju bersama-sama tanpa seorang pun yang tertinggal di belakang. Ini komitmen Perikatan Nasional,” ujarnya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan