25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

6 daerah pedalaman Sarawak nikmati bekalan elektrik

Mesti Baca

ENAM daerah di kawasan pedalaman Sarawak menerima bekalan elektrik menerusi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Talian Grid Seluruh Sarawak.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daerah terbabit adalah Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu dan Miri yang menelan belanja lebih RM193 juta.

“Projek bekalan elektrik itu bermula pada April 2018, melibatkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur untuk membekalkan bekalan elektrik kepada penduduk luar bandar di enam daerah di negeri Sarawak.

“Projek itu juga merupakan penambahan kepada sistem grid sedia ada milik Syarikat SESCO Berhad (SEB) bagi talian voltan 33 KV dan ke bawah, meliputi penyambungan ke rumah penduduk, rumah ibadat, dewan, sekolah dan fasiliti kerajaan serta balai raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Rumah Panjang Langgong, Daerah Kanowit, Sarawak hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri II, KPLB, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Jelas Mahdzir, sebanyak 22 pakej terlibat dalam projek BELB tersebut iaitu enam pakej di Bintulu, lima di Mukah, empat di Miri, tiga di Sibu dan masing-masing dua di Sarikei dan Kapit.

Pakej-pakej itu telah dikenal pasti oleh pihak Kementerian Utiliti Sarawak (KUS), melibatkan sejumlah 1,855 buah rumah dengan anggaran 9,275 orang penerima manfaat.

Bagi pakej projek yang melibatkan Rh. Langgong, ia mempunyai 13 rumah panjang, satu sekolah dan 59 buah rumah individu.

Projek tersebut telah dimulakan pada September 2018 dan penduduk mula menerima bekalan elektrik pada Februari 2020.

Ia melibatkan jumlah keseluruhan 242 buah rumah dan 1,210 orang penerima manfaat, dengan kos pembinaan lebih RM10.6 juta.

“Bagi tahun 2022 pula, KPLB dalam tindakan untuk melaksanakan lima lagi projek BELB Sistem Solar Hibrid di Sarawak iaitu dua projek di kawasan Telang Usan dan masing-masing satu projek di kawasan Marudi, Katibas, dan Long Busang, dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM350 juta.”

Projek itu menurut Mahdzir, melibatkan 1,500 buah rumah dan 7,500 orang penerima manfaat, dalam usaha kerajaan untuk memastikan setiap penduduk luar bandar dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam sehari.

“Skop projek BELB Talian Grid tidak melibatkan pemasangan meter dan pendawaian dalam rumah (IHW). Walau bagaimanapun, Sarawak Energy Berhad (SEB) ada menyediakan Assisted Wiring Scheme (AWS) untuk membantu pemohon luar bandar menyiapkan pendawaian dalaman rumah.

Bagi permohonan mendapatkan bekalan elektrik untuk rumah-rumah yang baru dibina, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Kementerian Utiliti Sarawak (KUS) untuk semakan dan penilaian lanjut Kementerian tersebut, sebelum senarai penuh dikemukakan kepada KPLB untuk tindakan,” jelas Mahdzir. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan