25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Undi 18, daftar automatik berkuat kuasa 15 Disember – SPR

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PINDAAN umur kelayakan pengundi 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan semalam dan akan dikuatkuasakan mulai 15 Disember.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pindaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, pindaan kepada perundangan subsidiari berkaitan pilihan raya iaitu Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) (Pindaan) 2021 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2021 juga telah diwartakan pada 30 November lalu.

Kedua-dua pindaan itu, katanya, juga akan dikuatkuasakan mulai 15 Disember setelah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda berdasarkan Seksyen 17 Akta Pilihan Raya 1958.

“Justeru itu, SPR akan membentangkan kedua-dua pindaan peraturan-peraturan tersebut dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas (2021) dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisements

Untuk rekod, cadangan pindaan itu sudah diluluskan pada mesyuarat kedua sesi kedua Parlimen ke-14 pada Julai 2019, namun tidak dilaksanakan.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar penurunan usia pemilih kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik akan dilaksanakan sebelum 31 Disember atau kerajaan boleh dikenakan tuduhan menghina mahkamah, jika gagal berbuat demikian.

Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu memerintahkan SPR menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik dilaksanakan selewat-lewatnya 31 Disember ini.

Pelbagai perhimpunan di bawah gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Undi18, diadakan sejak tahun 2016 yang menuntut agar hak kira-kira 1.2 juta pengundi belia tidak dinafikan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan