30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Malaysia jana RM33.9 bilion dalam Expo 2020 Dubai

Sebanyak 43 memorandum persefahaman, memorandum kerjasama dan surat niat serta 602 petunjuk perniagaan telah ditandatangani setakat ini.

Mesti Baca

MALAYSIA menjana lebih RM33.9 bilion potensi pulangan perdagangan dan pelaburan hasil penyertaan negara dalam Expo 2020 Dubai, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, dalam tempoh lapan minggu pertama itu, sebanyak 43 memorandum persefahaman, memorandum kerjasama dan surat niat serta 602 petunjuk perniagaan dengan beberapa syarikat antarabangsa telah ditandatangani.

Beliau berkata, pencapaian tersebut sekali gus berjaya melepasi sasaran asal iaitu RM10 bilion bagi potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam penyertaan Exco antarabangsa itu.

“Tahniah kepada MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan InovasI) kerana menerajui penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai, bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

“Dengan perkembangan positif ini, kerajaan yakin penyertaan Malaysia
dalam Expo 2020 Dubai akan menghasilkan impak yang lebih luas lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Selain MOSTI, penyertaan Malaysia turut melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi-agensi di bawah kementerian berkaitan serta pihak swasta.

Pavilion Malaysia di Exco 2020 Dubai

Ismail Sabri berkata, pencapaian itu juga membuktikan syarikat dan teknologi Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berjaya menarik pelaburan serta minat daripada pelbagai rakan strategik.
“Momentum ini dijangka berterusan untuk 18 minggu akan datang dengan usaha gigih pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, penyertaan rentas kementerian itu telah diselaraskan menerusi sub-tema Pavilion Malaysia iaitu pengkomersialan teknologi tempatan, membangunkan
ekosistem startup yang mampan dan inovasi teknologi hijau.

Pavilion itu turut mempamerkan daya tahan iklim dan infrastruktur lestari, bandar pintar dan rendah karbon, kewangan mampan serta industri halal dan pembuatan mampan.

Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai direka bentuk dengan konsep kanopi hutan hujan tropika bertemakan Energising Sustainability
telah merekodkan kunjungan lebih 330,000 pelawat sehingga 3
Disember 2021.

Ismail Sabri berkata, lawatan peringkat tertinggi ke Pavilion Malaysia termasuk menerima tetamu kehormat dari Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, India, Kemboja, Kuwait, Republik Guinea, Rusia, United Kingdom serta Dewan Perniagaan Sharjah. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan