28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Apakah nasib Tapak Arkeologi Sungai Batu?

Setelah geran penyelidikan oleh PPAG USM sudah berakhir mulai 30 November lalu, selepas 13 tahun membiayai kerja-kerja penggalian

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TAPAK arkeologi Sungai Batu di Merbok, Kedah yang digali sejak 13 tahun lalu kini menemui titik noktah apabila geran penyelidikan yang diguna untuk membiayai kerja-kerja di tapak tersebut berakhir sejak 30 November lalu.

Walhal masih banyak lagi kajian ke atas tapak tersebut yang kini telah membongkar pelbagai penemuan berharga untuk khazanah dan artifat negara perlu dilakukan.

Facebook Sungai Batu Tamadun Terawal Asia Tenggara berkata, geran penyelidikan tapak bersejarah itu dikeluarkan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 2008.

“Penyelidikan perlu diteruskan agar dapat lebih memahami apa itu Sungai Batu dengan lebih mendalam melalui tapak baharu yang akan dibuka dan dikaji apakah fungsi tapak tersebut pada masanya,” kata Facebook tersebut.

Katanya, sepanjang 13 tahun kerja-kerja menggali Sungai Batu, para penyelidik telah berjaya membawa penemuan empat fungsi utama Tamadun Sungai Batu iaitu Peleburan Besi tahun 788 Sebelum Masihi (SM), Jeti Purba (582 SM), Pentadbiran Pelabuhan atau Shahbandar (478 SM) dan Monumen Ritual 110 meter yang mengamalkan agama animisme.

Lokasi penemuan tapak purba Sungai Batu. – Sumber: Facebook

Laman itu berkata, sepanjang tempoh tersebut penemuan Sungai Batu, tapak tersebut juga telah mendedahkan sebanyak 90 tapak yang telah ditanda, dipercayai bukti wujudnya tamadun lama.

“Sehingga kini, terdapat 50 tapak yang telah dibuka sejak penyelidikan dan arkeologi bermula di tapak ini dan berbaki lagi 40 tapak yang belum dibuka,” kongsi laman Facebook tersebut.

Sebelum itu, para penyelidik telah menemui tapak paling lama iaitu berusia 788 SM berdekatan tapak peleburan besi tertua di Asia Tenggara yang ketika diistiharkan adalah 535 SM sebagai Tamadun Terawal Asia Tenggara oleh penyelidik arkeologi seluruh dunia ketika Festival Kedah Tua pada 2016.

“Pada tahun yang sama jugak kita didedahkan dengan penemuan paling mengujakan iaitu kapal purba yang dianggarkan berusia 535 SM sehingga 788 SM sebanyak 10 buah dengan kos mengangkat kapal berharga RM100 juta yang memerlukan kepakaran dari luar seperti Jepun yang sememangnya pakar mengeluarkan barang sejarah dari laut dan lumpur.

“Jadi, kita boleh bayangkan jika penyelidikan berhenti, apakah nasib 40 lagi tapak yang ditandai yang belum dibuka tersebut? Mungkinkah tapak tersebut bakal membuka lembaran baharu tarikh yang lagi lama daripada yang sedia ada iaitu 788 SM?,” kongsinya.

Pecahan tuyere yang membuktikan wujudnya aktiviti peleburan besi di Sungai Batu. – Sumber: Facebook

Menurut laman Facebook tersebut, tapak arkeologi Sungai Batu walaupun belum ditutup tetapi masih terdapat 40 lagi tapak yang belum dibongkar namun tiada berita terbaharu daripada penyelidik di tapak tersebut.

Katanya, itu tidak termasuk tapak-tapak yang sudah ditandai di luar kawasan Jabatan Warisan Negara yang dijarah untuk pembinaan projek perumahan secara besar-besaran sejak 2013 lalu.

“Perjuangan belum selesai. Doakan yang baik-baik untuk membolehkan penyelidikan diteruskan kerana sehingga kini tiada berita mengenai kelanjutan geran penyelidikan oleh PPAG USM tersebut,” katanya.

Untuk rekod, tapak arkeologi tersebut merupakan penemuan penting bagi membuktikan kepada dunia bahawa Sungai Batu merupakan Tamadun Terawal Asia Tenggara berbanding Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan