KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah meminta Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) menanguhkan cadangan menaikkan harga produk keluarannya mulai 1 Disember ini.
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya meminta syarikat berkenaan mengemukakan justifikasi berhubung rancangan pengeluar roti ternama itu.
Katanya, peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan mentah menjadi antara faktor utama Gardenia KL menyemak semula harga roti jenama Gardenia keluaran syarikat itu.
“KPDNHEP turut meminta supaya cadangan kenaikan harga itu ditangguhkan dahulu bagi mengurangkan tekanan kepada pengguna ketika ini,” katanya lapor Astro Awani.
Menurutnya, kementerian dijangka menerima maklum balas mengenai saranan penangguhan kenaikan harga itu esok (29 November).
“Dikatakan, harga gandum dunia sudah meningkat kerana COVID-19, kerana cuaca, iklim dan sebagainya. Cara yang konservatif ialah dengan memberi subsidi.
“Tetapi pegawai kita telah berhubung dengan syarikat roti tersebut, bertanyakan kenapa perlu dinaikkan dan apa justifikasinya,” katanya.
Terdahulu pada 25 November, Gardenia KL menerusi satu kenyataan mengumumkan kenaikan harga produknya bermula 1 Disember ini.
Syarikat itu berkata, peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan yang di luar kawalan meletakkan ia dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga. – Edisi 9