24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

‘Darah emas’ wanita Terengganu dikenal pasti sejak 2016

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

DARAH jenis Rhnull atau The Golden Blood (darah emas) yang mengalir di dalam tubuh seorang wanita di Terengganu sudah dikenal pasti sejak 2016.

Menurut jurucakap Tabung Darah Negeri Terengganu, sejak pertama kali menderma, pihaknya sudah mengesan kelainan jenis darah wanita tersebut hasil ujian kumpulan darah.

Katanya, darah penderma tersebut kemudian dihantar ke makmal luar negara untuk pengesahan.

“Darahnya dikenal pasti selepas derma darah 2016 melalui ujian kumpulan darah. Dia sudah derma beberapa kali sebelum kami muat naik ke media sosial mengenainya.

“Tujuannya adalah untuk mendidik orang ramai untuk menderma darah, untuk sebarkan kesedaran bahawa jenis darah kita diperlukan orang lain,” katanya kepada Edisi 9 melalui Facebook Messenger hari ini.

Kelmarin, Edisi 9 melaporkan seorang penderma darah wanita di Terengganu didapati memiliki kumpulan darah yang jarang ditemui di dunia yang digelar The Golden Blood atau Rhnull.

Perkara itu dikongsi oleh Facebook Derma Darah Terengganu Kite yang memaparkan wajah pemilik darah tersebut, namun tidak menyebutkan nama penderma berkenaan.

Setakat ini hanya terdapat 43 orang sahaja di seluruh dunia yang mempunyai kumpulan darah yang kali pertama ditemui dalam tubuh seorang wanita Orang Asli di Australia pada tahun 1961.

Manakala penderma itu adalah dipercayai rakyat Malaysia pertama yang mempunyai darah jenis sukar ditemui itu.

Advertisements

Jurucakap Tabung Darah Negeri Terengganu itu berkata, darah Rhnull yang dimiliki wanita tersebut adalah daripada proses mutasi gene dan bukannya daripada ibu bapanya, yang mempunyai darah jenis normal.

“Mutasi di RHAG gene menyebabkan RhAG protein tidak dapat dihasilkan. RhAG diperlukan untuk ekspresi Rh antigen.

“Ketiadaan RhAG menyebabkan Rh antigen tidak dapat dikesan ketika ujian kumpulan darah,” jelasnya.

Katanya, wanita tersebut mempunyai anak tetapi daripada jenis kumpulan darah biasa kerana mewarisi RHAG gene yang normal daripada bapa.

“Melainkan jika si ayah juga Rhnull, yang hampir mustahil berlaku kerana amat jarang terjadi,” katanya.

Beliau berkata, darah jenis sukar ditemui itu dihantar ke Pusat Darah Negara untuk disejukbekukan dan akan disimpan dalam peti nitrogen -80 darjah celsius selama 10 tahun.

Katanya, darah tersebut akan dicairkan sekiranya terdapat individu yang memerlukan jenis darah tersebut.

Untuk rekod, darah jenis Rhnull boleh diterima oleh sesiapa sahaja kerana ia adalah darah universal antara semua jenis kumpulan darah.

Bagaimanapun mereka yang mempunyai darah Rhnull hanya dapat menerima darah jenis yang sama. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan