25.3 C
Kuala Lumpur
Monday, February 10, 2025

Clare Rewcastle-Brown kini dikehendaki polis

Susulan waran tangkap oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 23 September lalu kerana gagal hadir untuk pertuduhan kes fitnah Sultanah Terengganu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

EDITOR Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown disenaraikan sebagai individu dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu dikehendaki polis itu boleh menyalurkannya kepada pihak polis.

Menurutnya, individu tersebut dikehendaki susulan waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September lalu berikutan kegagalan beliau hadir untuk pertuduhan kes fitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

“Pertuduhan membabitkan Rewcastle-Brown dilakukan mengikut seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Superintenden Junainah M. Kasbolah di talian 019-7051222 atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohd. Khairul Ridzuan Khiruddin di talian 017-6404440,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

Advertisements

Majistret Nordiana Abd Aziz kemudian menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Zulkefli.

Sebelum itu, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Richiamo jalin kerjasama dengan De Xandra, Rico Rinaldi

RICHIAMO Coffee Sdn Bhd mengumumkan kerjasama dengan pengeluar pewangi kenderaan, De Xandra serta pereka fesyen dan pengeluar pakaian terkenal...

Lagi Artikel Berkaitan