26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

UNHRC: Peluang Malaysia promosi pendekatan baharu

Malaysia terpilih sebagai anggota majlis PBB itu setelah memperoleh sokongan 183 daripada 193 negara

Mesti Baca

KEJAYAAN Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) membuka peluang untuk kita mempromosikan pendekatan baharu berhubung hak asasi manusia.

Pengasas Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin berkata, sokongan majoriti mutlak oleh 183 daripada 193 negara terhadap Malaysia adalah satu kejayaan terhadap bidang hak asasi negara ini.

Katanya, sokongan itu juga menggambarkan masyarakat antarabangsa sememangnya menolak pandangan atau idea khusus dalam mendekati isu hak asasi dan ia juga adalah kemenangan dalam kepelbagaian pemikiran yang ingin ditonjolkan pelbagai pihak.

“Kini Malaysia sudah diberikan kerusi di UNHRC, dan harapannya adalah kita tidak terus bergantung kepada kejayaan ini sahaja sebaliknya terus mempromosikan pemahaman kita sendiri mengenai hak asasi manusia dan bagaimana untuk ia terus didekati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azril, Malaysia perlu memulakan dialog dan memupuk pemahaman tentang bagaimana isu yang dikatakan sensitif dan taboo harus didekati mengambil kira nilai-nilai kolektif sebagai sebuah negara.

AZRIL MOHD AMIN

Ini termasuk isu golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) sehinggalah soal kebebasan agama yang perlu dihormati.

“Bagaimanapun, saya percaya dunia akhirnya mula menyedari bahawa pendekatan universal lama yang dikemukakan Barat tidak dapat dipertahankan dan relativiti budaya adalah caranya.

“Sudah sampai waktunya kita bergerak maju daripada pandangan sempit mengenai hak asasi manusia berdasarkan hanya Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia kepada mempertimbangkan juga Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN.

“CENTHRA berharap dapat bekerjasama dengan kerjaaan dan rakyat Malaysia dalam memastikan tempoh negara dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB itu sebagai peluang menunjukkan kepada dunia bagaimana hak asasi manusia dapat berfungsi selaras dengan kepercayaan dan tradisi tempatan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hantaran di laman Facebooknya malam tadi berkongsi berita gembira tersebut.

“Kejayaan Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB merupakan pencapaian yang hebat dan pengiktirafan kepada status hak asasi manusia,” katanya yang turut mengucapkan tahniah atas pencapaian itu.

Beliau berkata Malaysia sedia memainkan peranan aktif seperti menjadi pemudah cara bagi rundingan damai, pemboleh kerjasama dan pembina konsensus.

Malaysia pada Disember lalu, mengumumkan pencalonannya ke UNHRC bagi penggal 2022-2024.

Menteri Luar ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata UNHRC mencerminkan semangat kepelbagaian yang sentiasa disokong oleh Malaysia. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan