26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Larangan penerbitan berunsur LGBTQ+ jam Swatch diwarta

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan berkaitan lesbian, gay, biseksual, transgender queer dan plus (LGBTQ+) yang terdapat pada jam jenama Swatch.

KDN menerusi kenyataan memaklumkan, perintah melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 236 bertarikh hari ini turut membabitkan larangan penerbitan pada apa-apa koleksi termasuk kotak, pembalut, aksesori atau sebarang benda lain yang berkaitan.

“Pewartaan perintah larangan ini adalah selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012.

“Ia menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan terbabit adalah dilarang secara mutlak di Malaysia,”katanya.

KDN berkata, kerajaan komited mencegah penyebaran unsur yang memudaratkan moral, kepentingan awam dan negara dalam kalangan masyarakat.

Katanya, hasil penerbitan terbabit dikenakan tindakan perintah larangan kerana ia adalah hasil penerbitan yang memudaratkan dengan mempromosikan, menyokong dan menormalisasikan gerakan LGBTQ+ yang tidak diterima oleh masyarakat umum di Malaysia.

Advertisements

“Adalah diingatkan bahawa berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012, individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit dan menjual, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

“Kesalahan itu termasuk mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu dan apa-apa hasil penerbitan larangan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, KDN sekali lagi menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan.

Ia bagi membanteras penyebaran elemen, fahaman, dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan dari semasa ke semasa secara berterusan selaras dengan peruntukan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 13 dan 14 Mei lalu, KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan