26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pematuhan SOP COVID-19: Kewajipan yang semakin diabaikan?

Pemimpin dan ahli politik perlu menunjukkan teladan yang baik dalam membendung penularan virus ini melalui pematuhan SOP yang sempurna

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHD ZAINI OTHMAN

SEHINGGA rencana ini ditulis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes kumulatif jangkitan COVID-19 berjumlah 2,420,222 kes dengan kumulatif kes yang sembuh pula ialah sebanyak 2,311,213 kes atau bersamaan 95.5 peratus.

Sesuatu yang agak melegakan khususnya buat petugas kesihatan yang menjadi barisan hadapan utama kita sejak kes pertama jangkitan dilaporkan dahulu ialah angka jangkitan COVID-19 di seluruh negara secara keseluruhannya mencatat trend penurunan dengan jumlah kumulatif kes berkurangan sebanyak 17.9 peratus.

Walaupun menurun, pandemik ini masih lagi belum berakhir untuk kita kembali kepada norma hidup sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Khary Jamaluddin beberapa hari lalu memberi teguran ‘sayang’ menggesa rakyat Malaysia, terutama ahli politik, untuk terus memakai pelitup muka di tempat awam ia perlu diambil secara positif oleh semua pihak.

“Semakin ramai rakan setugas saya dilihat dalam gambar bermesyuarat tanpa memakai pelitup muka. Ramai ahli politik menghidapi kencing manis, hipertensi, dan mungkin obes.

“Kalau anda dijangkiti COVID-19, walaupun sudah divaksin, ia tak akan menjadi pengalaman yang menyenangkan,” tulis Khairy di Instagram Stories.

Selaku menteri yang menggalas tanggungjawab besar dalam menentukan untung nasib dan jatuh bangun negara ini melawan COVID-19 ketika ini, ingatan kepada masyarakat supaya tidak leka dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 sentiasa menjadi nasihat yang kerap beliau tekankan dari semasa ke semasa.

Justeru teguran yang dibuat Khairy mempunyai merit untuk diambil serius atas kapasitinya sebagai seorang menteri dan seorang ahli politik kerana kita tidak mahu keadaan ibarat ‘si ketam mengajar anaknya berjalan lurus’ atau ‘menepuk air di dulang akhirnya terpercik ke muka sendiri’.

Ahli politik merupakan pemimpin kepada masyarakat dan pada masa yang sama menjadi teladan dan perhatian daripada masyarakat untuk menilai bagaimanakah tingkah laku para pemimpin mereka dalam menterjemahkan agenda negara untuk dijadikan ikutan.

Antara agenda utama kerajaan kini seperti kita semua ketahui salah satunya adalah untuk mendidik masyarakat menjaga SOP dan menjadikan ia satu rutin dalam kehidupan norma baharu sebagai persiapan ke fasa endemik kelak.

Ini juga bagi mengelakkan timbulnya persepsi dwistandard, pilih bulu, kowtim dan apa sahaja terma negatif lain yang menjadi perbualan dan topik hangat dalam kalangan masyarakat terhadap isu penguatkuasaan kesalahan dan hukuman terhadap ahli politik dan rakyat apabila mereka melanggar dan tidak mematuhi SOP COVID-19.

Penulis menyarankan untuk pemimpin dan ahli politik agar terus menunjukkan teladan yang baik dalam membendung penularan virus ini melalui pematuhan SOP yang sempurna kerana penulis menganggap ini juga satu ‘perjuangan’ untuk kepentingan rakyat.

Kita sebagai rakyat juga boleh memberi teguan ‘halus’ kepada ahli politik dengan menunjukkan kepatuhan yang tinggi pada SOP.

Senario semasa dapat dilihat jumlah kenderaan di jalan raya bertambah secara mendadak, hentian rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya utama mulai meriah dengan persinggahan para pengguna untuk menjamu selera, lokasi tumpuan untuk percutian, melancong dan rekreasi mula dipenuhi pengunjung.

Suasana ini seperti sudah boleh ‘dibaca awal’ apabila kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri mulai 11 Oktober lalu di seluruh negara.

Dalam keterujaan merancang pelbagai rencana merentas negeri sama ada untuk pulang ke kampung halaman menziarahi orang tua yang sekian lama di rindui, atau membawa keluarga menikmati keindahan alam semula jadi mahupun berliburan bersama teman-teman setelah sekian lama terperuk di rumah setiap kali hujung minggu, ingat satu perkara, COVID-19 masih ada!

Ini kerana sudah dapat dilihat ada dalam kalangan masyarakat yang mula leka dan alpa bahawa COVID-19 masih ada di sekeliling kita.

Pakar kesihatan telah menegaskan virus ini masih tetap berbahaya kepada individu yang sudah lengkap di vaksin, apatah lagi yang belum menerima hatta satu dos sekalipun atas sebab kesihatan atau menolak mentah-mentah dek kerana terlalu percaya pada segala teori konspirasi.

Sudah terbukti di depan mata bahawa virus ini boleh meragut nyawa dalam tempoh yang singkat dan pastinya kematian bukanlah perkara yang harus dipandang enteng.

Ini kerana Khairy turut berkongsi kebimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia terhadap indikator awal dan trend kemasukan ke hospital di beberapa negeri agak membimbangkan selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Ahli politik dan masyarakat perlu mengambil teguran ini secara kolektif kerana hakikatnya semua bermula dari diri kita sendiri untuk mengelakkan Malaysia dilanda gelombang keempat penularan COVID-19.

Sudah ada contoh negara luar yang kembali bergelut dengan pandemik ini walaupun kadar vaksinasi rakyatnya sudah tinggi, puncanya adalah akibat sikap leka dan lalai. – Edisi 9

  • Mohd Zaini Othman merupakan Timbalan Pengarah di Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan