CYBERJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Jasri Kasim yang terpalit dengan isu berkaitan pemilihan agung UMNO baru-baru ini dipercayai telah ditukar ke jabatan lain.
Berdasarkan kenyataan dibuat Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz, Mohd Nawardi Saad telah dilantik sebagai Ketua Pengarah ROS yang baharu berkuat kuasa semalam.
Menerusi hantaran dalam Facebooknya, Wan Ahmad Dahlan berkata, surat penyerahan pelantikan Mohd Nawardi yang juga bekas Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN itu berlangsung semalam.
“Penyerahan Surat Pelantikan kepada YBrs. Tuan Haji Mohd Nawardi bin Saad, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Gred Utama C sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri berkuatkuasa 13 September 2021,” katanya.
Jasri sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila didakwa menarik balik keputusan ROS yang membatalkan penangguhan Pemilihan Agung UMNO yang telah dibuat sebelum ini.
Ia susulan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 30 Ogos yang mengesahkan menerima surat daripada Jasri bahawa ROS memutuskan penangguhan pemilihan parti itu untuk penggal 2021/2023 dibuat secara teratur.
Sehubungan itu, UMNO telah membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan jawatan UMNO untuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bahagian dan cawangan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada ROS iaitu sebelum 29 Disember 2022.
Sebelum itu, pada 6 Ogos, Jasri menegaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Menurut Jasri, ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
Sehubungan itu, UMNO diminta membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada ROS dalam tempoh terdekat.
Susulan keputusan terbaharu ROS itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima aduan ke atas pegawai kanan jabatan itu kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.
Aduan itu didakwa bagi mengubah keputusan yang dibuat pada 6 Ogos lalu iaitu penangguhan pemilihan parti UMNO sebagai tidak sah kepada sah.
Utusan Malaysia yang memetik sumber berkata, pegawai kanan terbabit didakwa meluluskan penangguhan Pemilihan Agong UMNO sehingga Disember 2022 bagi tempoh 18 bulan menerusi sepucuk surat bertarikh 30 Ogos lalu.
Justeru, kata sumber, aduan diterima daripada beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.
“Mereka mengesyaki berlakunya perbuatan salah guna kuasa dan rasuah untuk mempengaruhi perubahan keputusan ini oleh segelintir ahli politik yang cenderung kepada pemimpin-pemimpin tertentu,” katanya.
Perkata itu turut disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki bahawa pihaknya ada menerima aduan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut. – Edisi 9