25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tauke pakaian warga Bangladesh ditahan salah guna PLKS

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Seorang tauke kilang pakaian warga Bangladesh bersama 45 pekerjanya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di Ampang, Selangor pada Khamis lalu.

Penahanan itu dibuat rentetan kejayaan Ops ID Hack yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek lelaki berusia 46 tahun itu adalah antara saki baki individu yang menggunakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikeluarkan sindiket ID Hack berkenaan.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati, suspek turut menggunakan ID Hack itu untuk menubuhkan syarikat dan mendapatkan pekerja asing.

“Suspek bersama 45 pekerja terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia itu ditahan dalam serbuan di dua buah kilang pakaian dan dua premis lain di Ampang,”katanya menerusi kenyataan media di sini.

Menurutnya, daripada siasatan mendapati, suspek aktif dalam bidang industri pembuatan pakaian untuk pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor sejak tahun 2012 lagi.

“Malah, syarikat milik suspek mampu menggajikan seramai 45 orang warga asing dengan bayaran gaji RM1,600 sebulan serta mampu meraih keuntungan lumayan sehingga RM150,000 sebulan,” katanya.

Katanya, kegiatan suspek itu menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan khususnya dalam bentuk levi pekerja asing mencecah RM700,000.

Sehubungan dengan itu, kata beliau, pihaknya telah merampas sejumlah wang tunai dipercayai hasil jualan harian pakaian, dokumen-dokumen syarikat dan beberapa Sijil Pemilikan Kenderaan yang didaftarkan menggunakan nama syarikat yang sama.

“Berdasarkan kad ATM yang dirampas, suspek dipercayai telah menyimpan hasil keuntungan yang masih belum dipastikan jumlahnya menerusi beberapa akaun di bank-bank tempatan.

“Kesemua tahanan kini di tahan di bawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang juga pengarah syarikat turut ditahan untuk siasatan atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Wanita tempatan itu disiasat atas tuduhan berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613) dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007,”katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan