26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Sapiah catat sejarah wanita Orang Asli pertama jadi KP JAKOA

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sapiah Mohd Nor, 56, mencatat sejarah sebagai wanita Orang Asli pertama dari suku Semai yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkuat kuasa esok.

Bahkan, lebih manis lagi, perlantikan itu telah mencipta sejarah negara tersendiri apabila menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik ke jawatan tertinggi perkhidmatan awam.

Pengumuman pelantikan Sapiah dibuat dalam satu kenyataan media oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini.

Menurut Mahdzir, pelantikan itu diperkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah.

“Surat pelantikan beliau telah diserahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini pukul 12.00 tengah hari tadi di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Parlimen,” katanya.

Sejak 2003 hingga kini, Sapiah berkhidmat sebagai Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Mahdzir berkata, pelantikan berkenaan juga merupakan sejarah kepada JAKOA apabila dipimpin oleh golongan wanita sekali gus meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dan masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam.

Untuk rekod, Sapiah berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2007 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan universiti yang sama pada tahun 2001.

Beliau memulakan tugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir pada tahun 1991 dan berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun.

Sapiah juga pernah berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan, antaranya ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Perusahaan Utama dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) sebelum dilantik menjadi Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada tahun 2003 sehingga kini.

Bagi pihak Kerajaan dan seluruh Keluarga Malaysia, Mahdzir merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan tugas Sapiah atas pelantikan berkenaan.

-EDISI9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan