25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

RM38 juta lagi untuk baiki infrastruktur kawasan bencana

Mesti Baca

YAN – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM38 juta bagi memperbaiki infrastruktur yang rosak teruk akibat bencana kepala air di Yan dan Merbok, Kedah.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihaknya amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk di daerah itu yang terjejas akibat kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu yang mengorbankan enam nyawa.

“Selepas meninjau keadaan semasa selepas bencana itu, KPLB memutuskan untuk menambah peruntukan dengan kadar segera bagi membolehkan pelbagai infrastruktur dibaiki secepat mungkin demi memastikan anggota Keluarga Malaysia di daerah Yan ini yang ditimpa musibah tempoh hari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa”.

“Ini memandangkan banyak infrastruktur terjejas teruk dan memerlukan pembaikan segera kerana ia melibatkan keperluan penduduk setempat,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan di lokasi terjejas di Pekan Yan hari ini.

Mahdzir berkata, peruntukan segera itu juga seiring dengan keprihatinan KPLB dalam memfokuskan kesejahteraan rakyat terutamanya di luar bandar sebagai sebahagian Keluarga Malaysia.

Katanya, peruntukan tambahan itu membabitkan pembinaan rumah PPRT sebanyak RM1 juta, RM300,000 untuk kerja-kerja baik pulih jalan kampung dan RM500,000 di bawah program Ameniti Sosial termasuk membaik pulih titi dan jambatan.

Selain itu, RM1 juta untuk bekalan air alternatif dan RM35 juta untuk menaik taraf Loji Rawatan Air Tupah bagi menyedia akses bekalan air bersih dan terawat kepada 450 buah rumah penduduk yang terlibat.

Dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu, seramai enam penduduk tempatan terkorban dihanyutkan arus deras dan dihempap tanah runtuh.

Selain itu, sebanyak 1,732 rumah kediaman, 124 premis dan 14 pengusaha chalet pelancongan desa turut terkesan dalam fenomena itu. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan