CYBERJAYA – Laporan kes harian Covid-19 menunjukkan trend penurunan sekaligus memberikan kelegaan kepada rakyat di negara ini.
Tinjauan Edisi 9 di ruangan komen Facebook rasmi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendapati rata-ratanya meluahkan kesyukuran dengan trend berkenaan.
Salah seorang pemilik akaun Facebook bernama Salmi Sabri mengharapkan agar Allah SWT akan mengurniakan penurunan kes jangkitan.
“Allahuakhbar… Subhanallah… Terima kasih ya Allah. Semoga Allah mengurniakan agar kes jangkitan akan terus berkurangan dan kes kuarantin dikurniakan kesembuhan,” katanya.
Bagi pemilik akaun bernama Ila Yim pula, dia mendoakan agar kes terus turun.
“Mudah-mudahan terus turun. Mudah-mudahan jangan lagi ahli-ahli politik buat perangai dan menyebabkan kes-kes naik semula. Sudah-sudahla tu,” kongsinya.
Sementara itu, kes harian Covid-19 di negara ini terus mencatatkan penurunan dengan 13,104 kes hari ini berbanding semalam, 13,899 kes.
Noor Hisham berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah individu yang dijangkiti Covid-19 setakat ini, 2,198,235 kes.
Menurutnya, lima negeri mencatatkan kes empat angka dengan Sarawak menjadi negeri tertinggi melaporkan kes harian dengan 2,943 kes.
Ia disusuli Selangor dengan 1,558 kes baharu, Johor (1,455), Kelantan (1,206), Sabah (1,078), Perak (994) dan Pulau Pinang (955).
Turut mencatatkan kes ialah Kedah dengan 721 kes, Terengganu (685), Pahang (604), Melaka (362), Kuala Lumpur (270), Negeri Sembilan (165), Perlis (80), Putrajaya (24) dan Labuan, empat kes.
-EDISI9