CYBERJAYA – Kejayaan Maryam Muzamir mengharumkan nama negara selepas meraih tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 (iCAN 2021), di Toronto, Kanada, bulan lalu sangat dibanggakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut tidak ketinggalan dalam mengucapkan syabas dan tahniah kepada Maryam.
Malah, Ismail Sabri turut berdoa supaya Maryam iaitu murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Kuantan, Pahang terus menempa lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
“Adik Maryam telah mengharumkan nama Malaysia melalui inovasi makanan haiwan yang diperbuat daripada siput sedut dan juga kulit udang. Ia merupakan pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara.
Kongsi beliau melalui muat naik status di Facebooknya hari ini.
Ismail Sabri berkata, Maryam bukan sahaja mengenepikan 600 peserta lain dari 70 negara, tetapi dia juga menjadi pemenang termuda dalam pertandingan tersebut.
“Keluarga Malaysia amat berbangga dengan pencapaian adik Maryam dan saya mendoakan adik Maryam terus menempa lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya.
Semalam, kejayaan Maryam menjadi tular apabila mendapat perhatian dunia melalui pengacara hos terkenal antarabangsa, James Coden.
James yang berkongsi video di ciapan Twitternya Khamis lalu berkata, inovasi Maryam dalam mencipta sejenis makanan haiwan baharu yang diperbuat daripada kulit udang dan siput sedut sangat membanggakan.
“Dia menggunakan sisa makanan biasa, kerang makanan laut lalu mengolahnya menjadi makanan ternakan yang baharu.
Ciapan tersebut turut dikongsikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui hantaran di Facebooknya pada hari ini.
11-year-old Maryam Muzamir found a use for seafood shells by creating a sustainable livestock feed. Go, Maryam, go! #ClimateNight pic.twitter.com/93cUAX5f61
— The Late Late Show with James Corden (@latelateshow) September 23, 2021
ICAN 2021 adalah pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara yang diadakan secara dalam talian pada 28 Ogos lalu berikutan faktor pandemik Covid-19.
-EDISI9