Oleh SAIFUL BAHAR MOHD ARSHAD
HARI ini kerajaan Persekutuan diterajui oleh seorang Perdana Menteri daripada UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama empat Menteri Kanan dan 29 Menteri Kabinet yang lain.
UMNO yang tumpas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kembali berada di persada politik negara dengan menggubal dasar-dasar bagi berhadapan dengan pandemik COVID-19, memperbaiki ekonomi negara serta memulihkan kelangsungan kehidupan rakyat yang sekian lama menderita.
Rakyat susah bukan lagi kerana kononnya membayar cukai jualan dan perkhidmatan (GST) tetapi kerana kehilangan pekerjaan. Rakyat susah kerana gerai makan mereka tiada pembeli, perniagaan jatuh menjunam. Sejuta lebih penjawat awam tidak merasai kesusahan ini kerana walaupun bekerja dari rumah, setiap kali hujung bulan, mereka menerima gaji bulanan.
Tetapi bagi mereka yang berniaga di gerai, kedai makan, restoran dan pusat membeli belah, ekonomi negara yang lembab menyebabkan perniagaan mereka merosot, tutup dan gulung tikar.
Putaran wang di dalam negara, tidak seperti dulu kala. Mereka yang ada duit pun takut hendak berbelanja. Masing-masing tunggu dan lihat.
Manakala di Parlimen, ahli-ahli politik tidak henti-henti bercakaran, berebut kuasa. Dalam tiga tahun tiga bulan, negara sudah bertukar tiga Perdana Menteri. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, yang pada satu ketika dahulu hanya kenal seorang Perdana Menteri untuk 22 tahun.
UMNO BERNASIB BAIK
UMNO amat bernasib baik kerana dalam tempoh tiga tahun tiga bulan sahaja, pemimpin mereka kembali naik sebagai Perdana Menteri tanpa perlu melalui PRU.
Ini jelas memperlihatkan bahawa parti itu belum lagi diuji semula dengan suara dan undi rakyat menerusi peti undi. Walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) ada memenangi beberapa pilihan raya kecil (PRK) tetapi itu bukanlah ujian yang sebenarnya.
Teringat saya kepada PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dalam kedua-dua PRK ini BN menang dengan amat baik, tetapi kemudian dalam PRU-14, parti itu kalah dan hilang kuasa Kerajaan Persekutuan.
KENAPA UMNO TEWAS PADA PRU KE 14?
Ada beberapa faktor menyebabkan kekalahan UMNO pada PRU tahun 2018 itu, setelah memerintah 61 tahun.
1. Faktor Tun Dr Mahathir
Faktor yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad amat besar kepada kejayaan Pakatan Harapan (PH) merampas kuasa Kerajaan Persekutuan. Masih ramai rakyat percaya Mahathir sebagai seseorang yang boleh menyelamatkan negara daripada malapetaka skandal kewangan 1MDB.
2. GST
Isu GST yang tidak berjaya diterangkan kepada rakyat dengan baik menyebabkan pembangkang mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak, bahawa GST ini membebankan rakyat jelata.
Di Europa dan Amerika Syarikat, sebarang kenaikan cukai kepada rakyat boleh menumbangkan kerajaan sedia ada, apabila berhadapan dengan PRU atau pemilihan Presiden Amerika.
3. Skandal kewangan 1MDB dan Ubah Najib Razak
Skandal kewangan 1MDB dan slogan Ubah Najib Razak juga merupakan faktor kekalahan UMNO dan BN.
Kerajaan BN tidak berupaya menjelaskan dengan baik mengenai penglibatan kerajaan serta Perdana Menteri terhadap skandal kewangan tersebut.
4. PRU pada waktu yang salah
Najib memilih waktu yang salah untuk mengadakan PRU-14 pada bulan Mei 2018 kerana menunggu siapnya persempadanan semula kerusi-kerusi Parlimen. Walaupun tiada penambahan kerusi Parlimen, persempadanan semula telah dilakukan di beberapa tempat.
Ingatkan ini akan memberi sedikit kelebihan kepada BN di Selangor dan Perak, tetapi sebaliknya, ia menambah merosakkan persepsi rakyat terhadap kerajaan pimpinan Najib ketika itu.
Sebaik-baiknya, PRU patut diadakan pada bulan September atau Oktober 2017, selepas Sukan SEA kerana ketika parti-parti pembangkang belum lagi bersedia, manakala negara berada dalam ‘feel good factor’.
5. Pemilihan calon-calon PRU
Berlaku pemilihan calon-calon UMNO yang silap sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan di peringkat akar umbi dan sabotaj dalam parti menyebabkan calon-calon mereka kalah pada PRU-14.
Hanya dengan 10 peratus pengundi-pengundi Melayu dan UMNO berpaling kepada Calon pembangkang, sudah cukup untuk mengalahkan calon-calon UMNO dan BN.
6. Permainan persepsi politik
UMNO dan BN walaupun sudah memerintah selama 61 tahun, mempunyai kekuatan dari segi kewangan tetapi parti itu masih lagi kalah di dalam permainan persepsi politik dalam media sosial.
UMNO tidak berjaya mengawal media sosial agar berpihak kepada mereka.
Manakala, parti-parti politik pembangkang menguasai semua platform media sosial sehinggakan sebarang berita yang separtuh benar, bohong dan fitnah pun dianggap perkara yang benar.
Kerajaan BN terlalu lembab untuk memberi maklum balas isu-isu yang dibawa oleh pembangkang.
Kemungkinan kerana sudah 61 tahun memerintah negara, UMNO merasakan menjawab isu-isu ini tidaklah penting dan merasakan mana mungkin rakyat mempercayai semua isu-isu tersebut.
7. MCA dan Gerakan surah tidak dipercayai pengundi kaum Cina
Pengundi-pengundi Cina sudah hilang kepercayaan kepada parti MCA dan Gerakan. Mereka lebih selesa menyokong DAP.
Jelas kelihatan MCA dan Gerakan hanya memperolehi di antara 3 peratus hingga 5 peratus sahaja undi dari Cina pada PRU-14 lalu.
Walaupun MCA mempunyai lebih kurang 900,000 ahli parti, yang jelas kelihatan ahli-ahli MCA sendiri pun, tidak mengundi calon-calon BN dan UMNO.
Kaum Cina merasakan DAP dan Lim Guan Eng, akan lebih efektif memperjuangkan hak-hak mereka di negara ini. MCA sudah kehilangan keyakinan dan sokongan dari pengundi-pengundi Cina.
FORMULA MEMENANGI PRU-15
Untuk memenangi PRU-15, Ismail Sabri, UMNO, BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memerlukan beberapa perkara yang penting :
1. ‘Timing’ yang tepat untuk mengadakan PRU-15
Waktu yang paling tepat, apabila ada ‘feel good factor’ iaitu apabila COVID-19 dapat di kawal dengan baik. Ada kisah kejayaannya. Pada masa yang sama UMNO, BN, PN dan GPS sudah bersedia.
2. Pemilihan calon-calon yang tepat
Pemilihan calon-calon yang tepat, boleh menang dan disukai ramai oleh akar umbi juga merupakan satu faktor yang utama. Ini boleh mengurangkan sabotaj di peringkat bahagian. Pujuk dahulu pihak-pihak yang merajuk tidak dapat menjadi calon adalah penting.
Pemimpin-pemimpin UMNO yang bermasalah perlu berkorban dan memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin pelapis untuk mengambil alih.
3. Kerjasama politik
UMNO dan BN memerlukan kerjasama politik yang kukuh bersama parti-parti politik yang lain. UMNO tidak boleh bergerak secara bersendirian.
Mana mungkin UMNO atau BN mampu memenangi 120 kerusi Parlimen.
UMNO dan BN perlukan kerjasama politik bersama PN (Bersatu dan Pas) dan GPS, sama seperti kerjasama politik yang sedang dilakukan dalam kerajaan yang baharu dibentuk oleh Ismail Sabri.
Orang Melayu mahu melihat tiga parti Melayu terbesar ini bergabung di dalam PRU-15 nanti.
Konsep Satu (PN, BN dan GPS) Lawan Satu (PH, Warisan, Pejuang, UPKO), akan memperlihatkan peluang untuk PN, BN dan GPS menang lebih besar.
Ini berbeza berbanding pertandingan tiga penjuru, yang sudah tentu akan merugikan terutama kepada UMNO, BN dan PN sendiri.
4. UMNO danB BN perlukan 5 juta sokongan pengundi
UMNO dan BN memerlukan sekurang-kurangnya sokongan daripada 5 juta pengundi untuk menang PRU-15.
Dengan jumlah sokongan tersebut, baharulah UMNO dan BN akan kembali memerintah Kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri yang penting.
Ini bermakna, sokongan daripada keseluruhan 3 juta ahli-ahli UMNO yang boleh mengundi, tidak cukup untuk parti itu menang PRU-15.
UMNO perlukan pengundi-pengundi atas pagar, pengundi tidak berparti dan lain-lain.
Kerana itulah, konsep UMNO akan bergerak solo tanpa kerjasama politik dengan mana-mana pihak, adalah satu strategi yang salah dan mengundang kekalahan.
• Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad adalah pemerhati politik. Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.