34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Keputusan Porsche pilih Malaysia bukti keyakinan pelabur asing

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Keputusan pengeluar kereta terkenal, Porsche AG memilih Malaysia sebagai lokasi pengeluaran pertamanya di luar Eropah, Februari lalu membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap negara.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pilihan tersebut mencerminkan kepercayaan syarikat terbabit terhadap ekosistem automotif negara yang kondusif.

Menurut beliau, inisiatif-inisiatif strategik seperti pemberian insentif cukai 0 peratus selama 15 tahun bagi syarikat yang membuat pelaburan harta tetap sebanyak RM500 juta ke atas antara faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Selain itu, penubuhan Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mempercepatkan pelaksanan serta penyelarasan projek dan lain-lain inisiatif yang diperkenalkan sejak Pakej PENJANA tahun lepas turut menyumbang keyakinan tersebut.

“Di sebalik landskap ekonomi global yang mencabar dengan penularan wabak COVID-19, Porsche telah menyatakan keyakinan kepada Malaysia sebagai pintu masuk utamanya ke pasaran ASEAN dengan menjadikan Kedah lokasi kilang pemasangan pertama luar Eropah setelah lebih dari 70 tahun.

“Hab pembuatan automotif Malaysia dianggap sebagai langkah strategik oleh Porsche, menandakan komitmennya memperkukuhkan kehadiran jangka masa panjang di ASEAN.

“Ia juga mencerminkan kepercayaan Porsche terhadap kepakaran negara menjadikan Malaysia terus kukuh sebagai hab pembuatan pilihan bagi Original Equipment Manufacturers (OEM) antarabangsa,” katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-68 hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kemudahan pemasangan Porsche di luar Eropah yang pertama itu akan dibangunkan di Kulim, Kedah pada tahun depan menerusi kerjasama dengan Sime Darby Bhd.

Katanya, kerajaan akan terus memastikan persekitaran negara kekal berdaya saing dan kondusif untuk menarik pelabur asing melalui insentif fiskal dan bukan fiskal serta penyediaan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan