24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

MARA peruntuk RM324.3 juta bantu usahawan terjejas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memperuntukkan sebanyak RM324.3 juta bagi membantu para usahawan yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sehingga kini, MARA telah meluluskan pembiayaan perniagaan berjumlah RM311.36 juta kepada 2,966 orang usahawan di bawah tiga skim.

“Pertama, Skim Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan (SPAK) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

“Skim ini bertujuan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bumiputera yang terjejas akibat COVID-19 bagi meneruskan kelangsungan perniagaan dengan nilai pembiayaan maksimum sebanyak RM10, 000.

“Melalui program ini, seramai 1,601 usahawan telah mendapat manfaat dengan implikasi kewangan sebanyak RM13.26 juta.

“Kedua, Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPIM PENJANA) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“MARA menawarkan bantuan pembiayaan berbentuk pinjaman modal kerja untuk membantu usahawan bumiputera yang terjejas termasuk pengusaha kolej latihan bumiputera.

“Seramai 133 usahawan telah menerima pembiayaan SPIM PENJANA PKS dengan had pembiayaan sehingga RM1 juta melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM100 juta dan 24 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menerima manfaat di bawah SPIM PENJANA IPTS dengan had pembiayaan sehingga RM50 juta dengan implikasi kewangan sebanyak RM154.3 juta,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan jawapan lisan Ahli Parlimen Jerantut (BN) Datuk Ahmad Nazlan Idris pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di sini.

Advertisements

Sementara itu, beliau berkata, skim terakhir yang dilaksanakan adalah Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

“Skim ini bertujuan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bumiputera yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi melonjak kembali perniagaan mereka dengan nilai pembiayaan maksimum sebanyak RM50, 000.

“Seramai 1,208 usahawan telah mendapat manfaat dengan implikasi kewangan sebanyak RM43.8 juta,”katanya.

Selain itu, menurut beliau, di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), MARA turut memperkenalkan inisiatif penangguhan (moratorium) atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan perniagaan MARA.

“Inisiatif ini bertujuan untuk membantu usahawan-usahawan MARA dengan memberi penangguhan bayaran balik pinjaman MARA selama tiga bulan selepas kelulusan diberikan atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan perniagaan MARA dengan memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan.

“Setakat 31 Julai lalu, seramai 7,562 usahawan telah memohon dengan implikasi kewangan berjumlah RM25.74 juta,” katanya.

Pada masa sama, katanya, MARA juga menawarkan pengecualian bayaran sewa kepada semua penyewa premis perniagaan MARA bermula dari bulan Julai hingga September 2021 dan pemberian diskaun sewa sebanyak 30 peratus bagi bulan Oktober hingga Disember 2021.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 5,913 penyewa MARA dengan implikasi kewangan berjumlah RM14.89 juta,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan