24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Jumlah kes positif hampiri 2 juta, 19,733 kes hari ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Jumlah kes positif COVID-19 negara semakin menghampiri 2 juta kes dengan hari ini mencatatkan 1,900,467 kes.

Ia hasil daripada pertambahan kes baharu harian COVID-19 yang dilaporkan hari ini, berjumlah 19,733 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 1,900,467 kes positif COVID -19 yang dilaporkan, sebanyak 1,734,088 kes (91.3 peratus) tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap divaksinasi.

“Ia melibatkan 1,449,632 kes (76.3 peratus) terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi dan 284,456 kes (15.0 peratus) tidak lengkap divaksinasi manakala, hanya 166,379 kes (8.7 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap.

“Mengikut pecahan kes harian pula, 429 kes (2.2 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima serta 19,304 kes (97.8 peratus) daripada kategori satu dan dua.

“Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap divaksinasi lebih terlindung dan juga kurang berisiko mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk.

“Perkembangan positif ini dapat terus dilihat sekiranya Malaysia telah mencapai kadar vaksinasi yang lebih tinggi.

“Justeru, mereka yang belum mengambil vaksin dinasihatkan untuk segerakan pengambilan vaksin COVID -19 bagi melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan dijangkiti.

“Masyarakat juga diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard bagi mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media di sini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kes kematian harian COVID-19 kekal melepasi angka 300 dengan 361 kes, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian yang direkodkan sebanyak 19,163 kes.

Advertisements

“Kematian baharu tersebut melibatkan 301 warga Malaysia dan 60 warga asing dengan 102 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

“Berdasarkan rekod, kes BID tertinggi direkodkan negara ialah pada 5 September (107 kes) dan ini kelima kes BID mencatatkan tiga angka selain 4 September (104 kes), 15 Ogos (101 kes) dan 26 Ogos (100 kes),” katanya.

Beliau berkata, pesakit sedang dirawat dan diasingkan pula merekodkan sebanyak 248,673 kes termasuk 904 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 430 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dalam masa sama, kes sembuh mencatatkan 22,701 kes, menjadikan jumlah kes sembuh daripada COVID-19 sebanyak 1,632,631 kes,” katanya.

Sementara itu, katanya, 35 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 20 kluster tempat kerja, 11 kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan masing-masing satu kluster pendidikan lain dan institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

Terdahulu dalam ciapan di Twitter, Dr. Noor Hisham berkata, Sarawak terus merekodkan angka kes tertinggi, tiga hari berturut-turut dengan sebanyak 3,100 kes dilaporkan.

“Diikuti oleh Selangor sebanyak 2,989 kes, Pulau Pinang sebanyak 2,474 kes dan Sabah sebanyak 2,067 kes.

“Johor pula (1,867 kes), Kedah (1,564 kes), Kelantan (1,471 kes), Perak (1,319 kes), Terengganu (904 kes), Pahang (700 kes), Kuala Lumpur (537 kes), Melaka (375 kes) dan Negeri Sembilan (256 kes).

“Perlis (74 kes), Putrajaya (29 kes) dan Labuan (tujuh kes),” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan