30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

LPPR pandang serius isu SPRM tarik balik kes

Mesti Baca

CYBERJAYA – Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) memandang serius isu penarikan balik kes-kes melibatkan individu tertentu semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, LPPR tidak akan bertolak ansur berhubung isu tersebut demi menjaga imej dan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sehubungan itu, beliau berkata, LPPR akan mendapatkan pandangan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM berhubung penarikan balik kes terhadap Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid.

“Saya dan semua Ahli Jawatankuasa LPPR tidak mahu SPRM dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Segala kesilapan dan kelemahan yang berlaku dahulu, kita tidak mahu terus berulang.

“Prinsip semak dan imbang yang diamalkan sekarang hendaklah dilaksanakan dengan bijak, telus dan bertanggungjawab serta penuh integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abu Zahar berkata, pihaknya maklum bahawa penarikan balik kes tersebut adalah berasaskan fakta baharu daripada siasatan lanjut setelah tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 ketika perbicaraan.

Bagaimanapun, tegas beliau, LPPR berpandangan terdapat elemen-elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan pada awal Februari 2019 oleh Peguam Negara serta pengurusan dan pentadbiran SPRM ketika itu dibuat tanpa pertimbangan menyeluruh.

“Oleh kerana sesuatu kes diambil tindakan ketika itu tidak telus serta tidak profesional dan lebih menjurus kepentingan politik telah menyebabkan pengurusan SPRM yang ada sekarang terpaksa menanggung implikasinya,” katanya.

Pada 1 September lalu, Noor Ehsanuddin, 58, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas 29 pertuduhan rasuah, selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan tersebut.

Bernama melaporkan, Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Noor Ehsanuddin berkata, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu, semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei lalu.

SPRM kemudian menjelaskan keputusan menarik balik pertuduhan itu berasaskan fakta yang disahkan daripada siasatan lanjut.

Agensi itu memaklumkan, perkara tersebut bermula apabila tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 semasa perbicaraan telah berlangsung.

Menurut kenyataan berkenaan, susulan itu SPRM menjalankan siasatan lanjut berkenaan pembelaan tersebut. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan