33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

JKM bantu 4,422 murid kematian ibu, bapa akibat Covid-19

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membantu seramai 4,422 murid kematian waris akibat pandemik tersebut sehingga rekod Isnin lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, pihaknya mengambil berat serta prihatin terhadap kebajikan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa disebabkan oleh wabak Covid-19.

Menurutnya, data berkenaan meliputi murid yang kehilangan ibu dan bapa, selain ibu atau bapa sahaja atau yang murid telah sedia anak yatim sebelum kematian penjaga mereka pula.

“Pihak kementerian menerusi JKM telah mengambil inisiatif bagi memberi sokongan kepada kanak-kanak terbabit antaranya ialah melalui Tabung Bantuan Segera dan Bantuan Kanak-Kanak yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 pada akhir tahun lalu untuk menampung keperluan hidup mereka.

“Bagi yang berumur bawah tujuh tahun, kanak-kanak itu layak menerima RM200 seorang, manakala berusia tujuh tahun ke atas pula akan memperoleh sebanyak RM150 seorang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siti Zailah berkata, buat julung kalinya juga, kadar maksimum bantuan untuk kanak-kanak tersebut juga telah pun dinaikkan daripada hanya RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga.

Menurutnya, perkhidmatan kaunseling juga disediakan kepada kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi akibat kehilangan ibu bapa serta bantuan khas ini meliputi anggota keluarga mereka.

“Kanak-kanak itu boleh ditempatkan di mana-mana tujuh institusi JKM jika langsung tiada waris atau saudara mara yang boleh menjaga di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Mengulas lanjut, Siti Zailah menyatakan, murid berkenaan juga boleh diletakkan kepada keluarga ganti atau individu layak atau institusi yang selamat dengan perintah sementara dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

“Kita turut menjalankan kerjasama dengan komuniti setempat seperti ketua kampung, badan sukarela dan 140 pasukan perlindungan kanak-kanak seluruh negara.

“Mereka akan memberi bantuan sokongan secara berterusan kepada kanak-kanak dan ahli keluarga terbabit agar dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam masyarakat berkenaan.

Selain itu menurutnya, Bantuan Anak Pelihara sebanyak RM250 sebulan dengan maksimum adalah RM500 sebulan bagi sekeluarga yang memelihara dua orang kanak-kanak atau lebih juga disalurkan.

Menurutnya, bantuan berkenaan meliputi anak yatim piatu bawah usia 18 tahun tinggal bersama keluarga pelihara yang bukan menerusi Akta Pengangkatan 1952 atau Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952.

“Kanak-kanak ini diambil daripada Program Anak Pelihara yang dikendalikan JKM atau di bawah perintah Mahkamah Kanak-Kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: Ambil tindakan tegas – Tunku Ismail

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Ibrahim hari ini menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas berhubung isu penjualan stoking...

Lagi Artikel Berkaitan