30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

MPN beri perhatian rayuan pengusaha hotel, inap desa

Mesti Baca

LANGKAWI – Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan memberi perhatian terhadap rayuan pengusaha hotel dan inap desa di Pulau Langkawi agar diberi insentif bagi membangunkan semula industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau juga akan membawa segala cadangan dan pandangan pengusaha terbabit ke pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Mereka juga memberikan komitmen untuk memastikan semua kakitangan menerima suntikan vaksin bersama jaminan semua fasiliti dan fasiliti penginapan disanitasi dari semasa ke semasa bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri itu mengadakan sesi dialog bersama wakil-wakil pengusaha hotel, inap desa, pengusaha kereta sewa dan pemandu teksi sempena program perintis gelembung pelancongan di sini.

Turut bersamanya Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abd Mutalib.

Muhyiddin berkata, sektor pelancongan adalah antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dan pada tahun 2019 sebelum pandemik, sektor ini menyumbang sebanyak 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Berikutan penutupan sempadan negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sektor tersebut antara yang paling teruk terjejas oleh pandemik COVID-19.

Advertisements

“Di bawah pakej rangsangan ekonomi yang telah saya umumkan sejak Mac 2020, lebih RM249.7 juta telah dimanfaatkan oleh rakyat dan perniagaan di Pulau Langkawi.

“Antaranya, Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) sebanyak RM19 juta telah diberikan kepada 24,058 penerima dan Program Subsidi Upah sebanyak RM182.3 juta kepada 1, 522 majikan yang memanfaatkan 31, 852 pekerja.

“Sebanyak RM386,500 juga telah diberikan kepada 773 pemandu teksi dan bas, manakala sejumlah RM35,400 telah diberikan kepada 59 pengusaha inap desa,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau amat berharap agar pembukaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pembukaan destinasi gelembung pelancongan dengan selamat dan teratur.

Kejayaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi juga, kata beliau, bakal menjadi penanda aras kepada pembukaan destinasi-destinasi pelancongan lain dalam masa terdekat.

“Saya berharap semua yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan yang terkesan akibat pandemik ini terutamanya peniaga kecil dan sederhana, dapat menikmati manfaat daripada pembukaan gelembung pelancongan ini,” kata beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan