28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Antara tawaran Muhyiddin, Ismail Sabri dan Ahmad Maslan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

PADA 13 Ogos lalu, tiga hari sebelum Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri, beliau menawarkan kerjasama rentas parti dengan pihak pembangkang.

Tujuannya untuk mengelak negara daripada terjerumus ke dalam krisis politik sekali lagi apabila 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya.

Antara yang ditawarkan menerusi pelan kerjasama itu ialah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-undang Antilompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.

Manakala sebarang rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentang di Parlimen akan dirunding terlebih dahulu dengan semua ahli Parlimen.

Suatu rang undang-undang itu, jelas beliau, hanya akan dibentangkan sekiranya telah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Pada masa yang sama Muhyiddin turut menawarkan kepada Ketua Pembangkang dengan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan

Itu antara perkara yang ditawarkan Muhyiddin bagi membuat reformasi Parlimen dan pentadbiran negara, sekiranya pihak pembangkang memberi sokongan kepadanya dalam undi percaya di Parlimen (yang tidak sempat dibentangkan).

Malangnya tawaran Muhyiddin ditolak oleh pihak pembangkang, malah beliau dituduh cuba memberi sogokan kepada ahli Parlimen lain untuk mempertahankan kuasanya. Laporan polis turut dibuat.

Muhyiddin akhirnya mengalah dan terpaksa meletakkan jawatannya pada 16 Ogos 2021. Maka bersorak rialah 15 Ahli Parlimen UMNO yang menjadi punca kemelut politik kali ini.

Kemudian, Datuk Seri Ismail Sabri mengambil alih pentadbiran kerajaan setelah mendapat sokongan 114 ahli Parlimen lain termasuk wakil-wakil PN diketuai Muhyiddin.

Beberapa hari lepas, Naib Presiden UMNO itu menawarkan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan kepada pihak pembangkang, persis apa yang dilakukan oleh Muhyiddin.

Ironinya, maklum balas daripada pihak pembangkang baik PKR, DAP mahupun Amanah amat berbeza. Tawaran Ismail Sabri disambut baik malah mendapat pujian pelbagai pihak walhal sama seperti apa yang Muhyiddin tawarkan.

Lalu apa bezanya tawaran serupa yang dibuat oleh Muhyiddin dan Ismail Sabri? Kenapa sebelum ini tawaran tersebut ditolak pembangkang, sebaliknya kali ini menerimanya?

Tidakkah kedua-duanya membuat tawaran ini ketika mereka bakal berdepan usul undi percaya di Parlimen?

Penulis tidak mahu menyentuh soal ‘dasar UMNO’ sebelum ini yang konon berpegang kepada prinsip ‘No Anwar No DAP’. Biarlah penulis ulas perkara itu dalam kesempatan lain.

Dan ketika Ismail Sabri memplagiat tawaran Muhyiddin, muncul pula Datuk Seri Ahmad Maslan dengan 20 pelan reformasi Parlimen sekiranya beliau dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Untuk apa Mat? Ini bukannya nak pilihan raya sehingga perlu ada manifesto untuk menarik sokongan pengundi? Jawatan timbalan speaker je kut?

Jadi, kenapa perlu tergesa-gesa untuk mengubah itu ini termasuk membabitkan pindaan-pindaan Perlembagaan? Sudahkan kajian menyeluruh dibuat sebelum tawaran itu dibuat?

Sudahkah dibincang dalam kalangan pakar-pakar perundangan, peringkat Kabinet atau mungkin perlu di peringkat parti?

Penulis tidak mahu melihat kerajaan hari ini tersilap langkah kerana kelak segala apa yang diputuskan pada masa kini akan membawa kesan kepada rakyat dan negara pada masa depan.

Penulis bukan menolak sebarang kerjasama antara kerajaan dan pembangkang, itu molek ketika negara sedang berdepan dengan pandemik dan krisis ekonomi seperti sekarang.

Tetapi bagi penulis biarlah segala langkah panjang ini dibuat satu persatu dan tidak terlalu tergesa-gesa terutama hal-hal yang membabitkan pindaan Perlembagaan.

Sekali diubah, ia sukar untuk dikembalikan.

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan