27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

638 kes bunuh diri dalam tempoh Januari – Julai 2021

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sehingga Julai lalu, berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada tahun 2019, satu dalam 100 kematian (1.3 peratus) adalah disebabkan bunuh diri.

“Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan bahawa seramai 135 ahli keluarga atau rakan-rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.

“Tambahan lagi, situasi pandemik COVID-19 di seluruh dunia memberikan impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu dan masyarakat Malaysia tidak terkecuali.

“Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum bahawa bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia, dan penyebab ke-4 kematian bagi mereka yang berumur daripada 15 hingga 29 tahun.

“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya berisiko untuk tingkah laku bunuh diri,” katanya menerusi kenyataan bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia, dengan tema ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ di sini.

Berikutan situasi itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM ingin memaklumkan bahawa, beberapa inisiatif bagi menangani isu tingkah laku bunuh diri telah dilaksanakan.

“Antaranya pengukuhan pelaksanaan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial menerusi talian bantuan sokongan psikososial yang diwujudkan dengan kerjasama Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi meningkatkan akses terhadap liputan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial bagi membantu individu yang memerlukan sokongan semasa pandemik COVID-19.

“Selain itu, pertambahan pegawai psikologi kaunseling di peringkat daerah dan klinik kesihatan bagi mengukuhkan perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan keganasan dan kecederaan, serta penyalahgunaan substans.

“Inisiatif kedua meliputi sokongan terhadap usaha dekriminalisasi cubaan bunuh diri di mana usaha bagi pindaan Seksyen 309 di bawah Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah.

“Ketiga, advokasi kempen Let’s TALK Minda Sihat kepada kumpulan sasar menerusi dan masyarakat secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu termasuk melibatkan media massa, media sosial dan pihak berkepentingan.

“Sementara, inisiatif keempat, iaitu memberi latihan secara berterusan kepada ‘first-line responders’ seperti anggota kesihatan, anggota polis, dan anggota bomba bagi meningkatkan kemahiran pengendalian tingkah laku bunuh diri.

“Di samping, mempergiatkan sesi libat urus dengan pelbagai Kementerian dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam usaha whole-of-government dan whole-of-society untuk menangani isu tingkah laku bunuh diri, “katanya.

Pada masa sama katanya, seluruh masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam mencegah tingkah laku bunuh diri dengan cara-cara seperti mengambil tahu dan bertanya khabar ahli keluarga dan orang sekeliling terutamanya yang terkesan akibat situasi pandemik COVID -19.

“Memberikan sokongan dan dorongan kepada mereka untuk mendapatkan bantuan dan rawatan;

“Elakkan penularan sebarang berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri ke media sosial; buang stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku;

“Serta kekalkan hubungan dan berikan sokongan sosial terutama selepas sesuatu krisis berlaku,” katanya.

Jelas beliau, KKM akan terus komited dalam menjalinkan kerjasama serta mengalu-alukan pelbagai agensi lain untuk bersama mengambil bahagian dalam pelaksanaan pencegahan tingkah laku bunuh diri.

“Usaha-usaha ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan tingkah laku bunuh diri, menghapuskan stigma terhadap tingkah laku bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, selaras dengan ‘Konsep Keluarga Malaysia’, peranan masyarakat secara bersama sangat penting bagi mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang-orang yang disayangi terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19.-Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan