32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Tiada PRK isi kekosongan kerusi DUN Melor

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa tiada pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kelantan berikutan kematian penyandangnya, Dr Md Yusnan Yusoff pada 30 April lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya telah menerima pemakluman daripada Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub melalui surat bertarikh 8 Ogos 2021, berhubung dengan status kekosongan luar jangka kerusi DUN Melor.

Menurut beliau, berdasarkan Proklamasi Darurat 2021 (P.U.(A)7) yang berkuat kuasa pada 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021 dan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 (PU(A)12), peruntukan Perlembagaan mana-mana Negeri berhubungan pilihan raya bagi pemilihan ke DUN tidak mempunyai kesan sepanjang tempoh darurat.

“Di bawah Perkara 46(5) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.

“Seandainya kekosongan luar jangka itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri akan terbubar, mengikut Fasal (3), maka tiada keperluan mengisi kekosongan itu melainkan Speaker secara bertulis memberitahu SPR sebaliknya.

“Sehubungan itu,Yang Dipertua Dewan Negeri Kelantan telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 4 Mei lalu, SPR mengumumkan PRK DUN Melor ditangguhkan berikutan pelaksanaan Darurat di seluruh negara ketika itu, selaras dengan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021 dan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

PRK sepatutnya dalam tempoh 60 hari selepas tarikh kekosongan diadakan selaras dengan Perkara 46 (5) Bahagian Pertama Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Md Yusnan, 53, meninggal dunia di kediamannya di Melor selepas mengalami serangan jantung.

Sebelum dipilih sebagai ADUN Melor sejak 2013, Allahyarham ialah bekas pembantu Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selepas dilantik sebagai Timbalan Exco Kerajaan Negeri Kelantan pada 2013, beliau berusaha menggerakkan secara aktif Jawatankuasa Pengkajian Enakmen Negeri Kelantan dengan memfokuskan kepada usaha menyemak enakmen sedia ada dan mencadangkan beberapa Rang Undang-undang (RUU) untuk dibawa ke DUN Kelantan.

Allahyarham yang mewakili PAS memenangi kerusi DUN Melor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) setelah beroleh sebanyak 7,820 undi.

Beliau mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Cikgu Azmi dengan kelebihan 647 undi majoriti.

Cikgu Azmi beroleh sebanyak 7,173 undi manakala calon PKR, Haji Aziz hilang deposit apabila hanya menerima 2,122 undi.

Terdahulu, pada PRU-13, Md Yusnan memenangi kerusi DUN Melor apabila menerima 10,590 undi manakala calon BN, Mohamed Othman Omar pula beroleh sebanyak 8,101 undi.

Selain DUN Melor, PRK bagi beberapa kerusi Parlimen dan DUN yang kosong di seluruh negara terpaksa ditangguhkan ekoran Proklamasi Darurat.

Kerusi Parlimen terbabit adalah Batu Sapi dan Gerik manakala kerusi DUN pula melibatkan Bugaya. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan