31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tarik balik kelonggaran kalau gagal patuh SOP

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika berlaku jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan tersebut, Kementerian Kesihatan (KKM) terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko.

Beliau tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenal pasti melanggar SOP.

“Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik COVID-19 ini.

“Sememangnya, kemudahan ini adalah bukti kepercayaan kerajaan bahawa rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap boleh membuat penimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus COVID-19 yang kini sudah berleluasa di dalam komuniti kita,” katanya ketika mengumumkan kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap secara langsung, hari ini.

Muhyiddin menambah, kemudahan-kemudahan tersebut bukanlah bermakna boleh mengabaikan SOP yang telah ditetapkan.

Beliau memberitahu, kemudahan makan di kedai dan aktiviti sukan terutamanya, adalah lebih berisiko bagi seseorang individu itu dijangkiti virus COVID-19.

Perdana Menteri telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP COVID-19, memastikan kementerian-kementerian dan agensi yang bertanggungjawab untuk mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kemudahan-kemudahan yang diberikan.

“Ingin saya tegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis, mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

“Langkah untuk mengawal pandemik ini juga memerlukan usaha bersepadu pihak kerajaan dan masyarakat. Individu, ketua komuniti dan perniagaan perlu berwaspada dalam mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan virus ini,” jelasnya.

Menurut beliau, dalam pada kemudahan-kemudahan itu diberikan, kerajaan juga akan memastikan strategi tindakan kesihatan awam yang ketika ini berada di atas landasan yang tepat terus dilaksanakan sebaiknya terutama menerusi ujian saringan, pengesanan kontak rapat, langkah pengasingan, serta peningkatan keupayaan penjagaan kesihatan dan pilihan rawatan yang lebih luas.

Di samping itu, Muhyiddin menjelaskan, keputusan memberi kemudahan kepada penerima dos lengkap vaksin dibuat dengan sangat berhati-hati dan ia adalah selaras dengan data yang dikumpul di dalam negara tentang keberkesanan vaksinasi lengkap serta prinsip sains dan kesihatan awam yang diguna pakai di seluruh dunia.

“Penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:

“Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan

“Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” katanya.

Beliau mengingatkan, keputusan pemberian kemudahan itu semestinya akan memberi risiko peningkatan bilangan kes harian.

Namun, katanya, kerajaan juga tidak boleh memandang ringan manfaat setelah divaksin lengkap dan juga peranan kemudahan-kemudahan ini terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat serta aktiviti ekonomi negara.

“Penerima vaksin lengkap dapat mengukuhkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan virus COVID-19 dan melindungi diri daripada mendapat gejala jangkitan yang lebih teruk, serta mampu mengurangkan kadar kebolehjangkitan kes positif COVID-19 sebanyak 50 peratus,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata, dalam tempoh enam minggu kebelakangan ini, terdapat trend penurunan kadar kemasukan ke wad dan unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Beliau berkata, situasi itu menunjukkan pemberian vaksin kepada kumpulan warga emas di fasa 2 PICK yang dilaksanakan sejak 19 April 2021 telah mula menghasilkan impak yang positif dalam konteks kesihatan.

“Begitu juga bagi petugas-petugas KKM yang telah menerima vaksin COVID-19 sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Februari 2021.

“Seramai 246,242 petugas telah menerima vaksinasi lengkap dan didapati hanya 4,635 (1.88%) dijangkiti COVID-19. Daripada jumlah kes positif tersebut, 4,625 (99.78%) hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.

“Manakala hanya 7 kes (0.15%) adalah kategori 3 dan 3 kes (0.06%) adalah kategori 4. Tiada dalam kalangan mereka yang mengalami jangkitan COVID-19 kategori 5 yang memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan